Jumaat, 19 April 2024 | 11:18pm
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk malam ini. - BERNAMA
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk malam ini. - BERNAMA

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf sebagai Malaysia-China Institute - Ahmad Zahid

BAGAN DATUK: GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf sebagai Malaysia-China Institute (MCI) bagi melatih tenaga kerja dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) tempatan yang akan mendapat kepakaran dari China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada peringkat awal, pusat itu akan melatih 2,000 tenaga TVET yang mendapat tajaan latihan ke negara berkenaan.

"Ia telah pun bermula dengan seramai 650 pelajar TVET tempatan sedang mendapat latihan awal di GiatMARA Bagan Datuk dan telah dihantar ke China.

"Tajaan ke atas pelajar TVET ini adalah tajaan penuh organisasi China dan pelajar hanya perlu membiayai kos tiket sahaja, itu pun kita telah dapatkan tajaan untuk mereka," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, bagi melicinkan perjalanan GiatMARA Bagan Datuk sebagai MCI, proses naik taraf kemudahan dan infrastruktur akan dilaksanakan termasuk membesarkan kawasan kampus dalam masa terdekat.

Pada Januari lalu, dilaporkan 17 institusi TVET di China bersetuju dan bersedia untuk bersama dalam penubuhan MCI.

Komitmen dizahirkan institusi TVET China terhadap penubuhan MCI itu adalah dengan menawarkan 2,000 kuota latihan sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kemahiran kepada pelajar TVET Malaysia.

Peluang latihan diberikan meliputi pelbagai bidang termasuk berkaitan kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), teknologi internet pelbagai benda (IoT), solar, teknologi maklumat dan pemesinan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata sebagai permulaan sebuah organisasi dari China akan menaja 2,000 pelajar tempatan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, kereta hidrogen dan telekomunikasi.

Menurutnya, ia juga sebagai terjemahan jalinan kerjasama antara Malaysia-China dan penambahan pelaburan dari negara berkenaan ke Malaysia.

"Sehubungan itu China amat perlukan pekerja mahir dari negara kita dalam bidang berkaitan," katanya sambil menambah pelajar yang dipilih daripada pelbagai latar belakang dan kaum termasuk Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

Berita Harian X