Jumaat, 19 April 2024 | 6:49pm
Letusan letupan berlaku dengan ketinggian dianggarkan 2,000 meter dari puncak Gunung Ruang di Indonesia pada malam Selasa lalu.
Letusan letupan berlaku dengan ketinggian dianggarkan 2,000 meter dari puncak Gunung Ruang di Indonesia pada malam Selasa lalu.

MetMalaysia terus pantau perkembangan letusan Gunung Ruang

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus memantau perkembangan serta sebarang perubahan insiden letusan gunung berapi Gunung Ruang di Indonesia, bagi menilai kesannya terhadap Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata pihaknya juga melaksanakan simulasi untuk mengenal pasti potensi berlaku tsunami akibat letusan itu dan ancamannya kepada Malaysia.

"Tiada tsunami dijangkakan (pada masa ini) dan MetMalaysia akan terus memantau untuk sebarang kemungkinan memandangkan letusan gunung berapi boleh menyebabkan tsunami sekiranya ada kaldera yang runtuh akibat aktiviti gunung berapi di kawasan lautan yang memungkinkan peralihan sejumlah besar air laut.

"Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia ada mengeluarkan amaran tsunami sebagai langkah berjaga-jaga untuk rantau berdekatan kawasan letusan gunung berapi terbabit," katanya.

Pada 9.45 malam Selasa lalu, letusan letupan berlaku dengan ketinggian dianggarkan 2,000 meter dari puncak, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).

Jurucakap BNPB, Abdul Muhari melalui kenyataan menjelaskan keadaan bertambah buruk, dengan abu letusan itu mencecah 2,500 meter pada jam 1.08 pagi Rabu lalu.

Badan geologi, Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia memberi amaran potensi ketinggian gelombang tsunami akibat letusan Gunung Ruang di Kabupaten Sitaro, Sulawesi Utara boleh mencapai 25 meter. – BERNAMA

Berita Harian X