Jumaat, 19 April 2024 | 2:59pm
Anwar beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir bagi makan tengah hari bersama penduduk setempat di Gerai Kak Ngah Billion, Bandar Teknologi Kajang. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Anwar beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir bagi makan tengah hari bersama penduduk setempat di Gerai Kak Ngah Billion, Bandar Teknologi Kajang. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Kerajaan sedia bawa pulang warga Malaysia di Iran - Perdana Menteri

KAJANG: Kerajaan bersedia membawa pulang warga Malaysia di Iran jika perkembangan konflik antara negara itu dan rejim Zionis semakin membimbangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketetapan itu dimuktamadkan menerusi mesyuarat yang diadakan pagi tadi.

Katanya, kerajaan juga dijadual memperincikan sekali lagi tindakan susulan yang bakal diambil, susulan serangan terkini di Isfahan, Iran yang dilakukan rejim Zionis, petang ini.

"Tadi kita sudah ada mesyuarat, tetapi petang ini kita akan bincang sekali lagi dengan Kementerian Luar.

"Kita akan tengok keadaan, kalau mencemaskan bagi rakyat, kita akan bawa keluar (warga Malaysia di Iran)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Al Jazeera melaporkan, Iran mematahkan serangan dron yang dilancarkan rejim Zionis, pagi ini.

ABC News pula melaporkan, sumber kerajaan Amerika Syarikat mengesahkan serangan peluru berpandu di beberapa lokasi di Iran.

Agensi berita Iran, Iranian Fars melaporkan berlaku letupan di Isfahan, Iran, menyebabkan operasi penerbangan di ruang udara negara itu terutama ke Tehran, Isfahan dan Shiraz dihentikan.

Isfahan adalah lokasi yang dikaitkan dengan program nuklear Iran, termasuk tapak bawah tanah Natanz yang menjadi sasaran serangan Israel sebelum ini.

Bagaimanapun, siaran televisyen Iran, IRNA dalam laporannya menyifatkan semua tapak di kawasan itu setakat ini 'selamat sepenuhnya'.

Pada Sabtu lalu, Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan 1 April ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk tujuh penasihat tentera.

Beberapa peluru berpandu dilaporkan melanda dalam wilayah Israel, satu daripadanya merosakkan kemudahan ketenteraan Israel di selatan negara itu.

Sementara itu, Anwar mengulangi pendirian mengutuk tindakan kejam rejim Zionis yang melancarkan serangan di bangunan Konsulat Iran di Damsyik, pada 1 April lalu.

Ia termasuk tindakan terbaharu Israel yang melancarkan misil di bandar Isfahan, semalam.

"Pendirian kita pertamanya mengutuk serangan ke atas kedutaan (Iran), seterusnya kita mahu perdamaian (kerana) yang terkesan ini rakyat, bukan sahaja di Asia Barat, dunia arab di Iran malah di seluruh dunia.

"Ini akan menyebabkan harga minyak melambung, lonjakan pengedaran pengangkutan, selain (terusan) Suez tidak boleh digunakan (dan) kena guna jalur lain yang membabitkan kos lebih tinggi.

"Justeru, kita menggesa supaya diberi jaminan keamanan (dan) hentikan secara agresif keganasan Israel yang terus berlaku kerana keengganan kuasa besar Barat mengambil tindakan bagi mengawal tindakan zalim yang ganas dan agresif oleh Israel perlu dilakukan," katanya.

Berita Harian X