Jumaat, 19 April 2024 | 1:35pm
Majlis Keselamatan PBB mengundi resolusi membenarkan keanggotaan penuh Palestin dalam PBB di ibu pejabat PBB di New York pada 18 April 2024. - Foto AFP
Majlis Keselamatan PBB mengundi resolusi membenarkan keanggotaan penuh Palestin dalam PBB di ibu pejabat PBB di New York pada 18 April 2024. - Foto AFP

Malaysia bimbang, kecewa veto halang Palestin jadi anggota penuh PBB

PUTRAJAYA: Malaysia bimbang dan kecewa dengan tindakan veto bagi menghalang kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan veto itu menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB untuk merealisasikan hak rakyat Palestin.

Katanya, hak itu termasuk untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur sejak 1967.

"Malaysia bimbang dan amat kecewa susulan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh PBB pada 18 April 2024, walaupun terdapat sokongan daripada sebahagian besar negara anggota PBB.

"Pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan ini menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB untuk merealisasikan hak rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sejak 1967," katanya.

Menurutnya, Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra 1967, dengan Baitulmaqddis Timur sebagai ibu negaranya.

"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di PBB," katanya.

Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) menghalang PBB daripada mengiktiraf negara Palestin dengan menggunakan veto untuk menafikan keahlian penuh Palestin.

AS dilaporkan berkata, sebuah negara Palestin yang merdeka harus ditubuhkan melalui rundingan terus antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin, bukan melalui tindakan PBB.

AS menggunakan vetonya ke atas draf resolusi supaya Palestin diterima menjadi ahli penuh PBB.

Sementara itu, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), menyifatkan tindakan veto AS itu bukan sahaja kegagalan diplomasi tetapi pengkhianatan yang mendalam terhadap prinsip teras keadilan dan kesaksamaan.

Menurutnya, veto itu bukan sahaja menandakan kemunduran bagi diplomasi AS tetapi juga memburukkan lagi pengasingan di pentas global.

"Di sebalik kecaman antarabangsa yang meluas dan seruan berulang kali untuk keadilan, perjuangan rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri dan hak asasi manusia terus diabaikan oleh negara yang berkuasa, khususnya AS.

"Daripada memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, AS telah mengutamakan kepentingan politik berbanding prinsip keadilan dan kesopanan," katanya.

Menurut CENTHRA, tindakan AS menghalang resolusi untuk mengakui Palestin sebagai anggota penuh PBB mengekalkan ketidakadilan dan menjejaskan kredibiliti PBB.

"Ia menghantar mesej berbahaya bahawa negara berkuasa boleh bertindak tanpa hukuman, mengabaikan hak dan maruah masyarakat terpinggir.

"Dalam menghadapi ketidakadilan yang begitu teruk, masyarakat global mesti bersuara dan menuntut akauntabiliti.

"Prinsip keadilan, kesaksamaan, dan hak asasi manusia mesti diutamakan, tanpa mengira pertimbangan politik. Veto AS ke atas Palestin mengatasi halangan diplomatik; ia mewakili kegagalan moral yang memerlukan tindak balas bersatu daripada semua yang menjunjung maruah dan nilai yang wujud setiap manusia," katanya.

Sebagai penyokong hak asasi manusia dan keadilan sosial, CENTHRA menggesa semua negara untuk berdiri dalam solidariti dengan rakyat Palestin dan menyokong usaha untuk meminta Israel bertanggungjawab atas tindakannya.

Berita Harian X