Khamis, 18 April 2024 | 4:07pm
Gambar fail - Chiok Wai Loong
Gambar fail - Chiok Wai Loong

Bekas juruteknik tak mengaku buat hantaran jelik berkait kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Seorang bekas juruteknik aplikasi media sosial sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, kerana membuat hantaran bersifat jelik berkaitan stoking kalimah Allah.

Tertuduh, Chiok Wai Loong, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan sama di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 22 Mac lalu, namun berjaya mengetepikan pengakuan itu menerusi semakan di Mahkamah Tinggi pagi tadi, atas alasan ia bukan akuan yang jelas.

Susulan itu, Wai Loong diarahkan dituduh kembali di hadapan hakim berlainan sebelum mengaku tidak bersalah ketika dikemukakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, petang ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya melalui Facebook menggunakan profil 'Chiok Wai Loong' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 18 Mac lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

"Syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak membuat hantaran hingga kes selesai perbicaraan," katanya.

Namun, peguam bela Wai Loong, Latheefa Koya, memohon jaminan tidak lebih RM4,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

"Anak guam tak berkemampuan dan sekarang tak bekerja, selain tinggal dengan bapa berusia lingkungan 60-an yang tiada kerja tetap.

"Saya terkejut ada syarat tambahan kerana kesalahan ini boleh dijamin, sepatutnya tiada syarat lain.

"Anak guam memberi kerjasama penuh sejak mula dibawa dari mahkamah. Dia bankrap dan tidak akan ke mana-mana," katanya.

Siti Aminah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan dan menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Ketika prosiding semakan pengakuan salah tertuduh pagi tadi, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Suzana yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap bekas juruteknik itu susulan pengakuan berkenaan.

Hakim Datuk Ahmad Bache, membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan difailkan Wai Loong supaya pengakuan salah dibuatnya sebelum ini adalah bukan akuan jelas, tanpa bersyarat dan tidak boleh diterima.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki itu tampil memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menambahkan ketegangan dalam isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di sebuah kedai serbaneka.

Dia membuat permohonan itu dengan dikelilingi sekumpulan lelaki yang mencarinya kerana tidak berpuas hati dengan komennya.

Lelaki itu mencetuskan kemarahan netizen selepas didakwa mengeluarkan komen meminta orang ramai tidak terlalu sensitif dengan isu itu.

Dia malah didakwa cuba membuat kelakar dengan memuat naik gambar stoking yang memuatkan wajahnya sendiri.

Berita Harian X