Khamis, 18 April 2024 | 4:00pm
Penumpang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, susulan letusan gunung berapi Ruang, di Kepulauan Sulawesi, Indonesia. - Foto BH/MOHD ADAM ARININ
Penumpang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, susulan letusan gunung berapi Ruang, di Kepulauan Sulawesi, Indonesia. - Foto BH/MOHD ADAM ARININ

20,000 penumpang di Sabah terjejas akibat pembatalan penerbangan

KOTA KINABALU: Keselamatan penumpang menjadi keutamaan berikutan langkah syarikat penerbangan membatalkan puluhan jadual penerbangan ke Sabah, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kira-kira 20,000 penumpang yang masuk dan keluar ke negeri ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Labuan, Tawau dan Sandakan terjejas akibat pembatalan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memantau kesan letusan Gunung Ruang di Indonesia yang menyebabkan pelepasan debu gunung berapi di udara hingga menjejaskan operasi penerbangan.

"Saya sudah diberikan taklimat berhubung situasi itu dan memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

"Keselamatan menjadi keutamaan dan apa yang penting ialah kita memberi keutamaan terhadap keselamatan rakyat kita," katanya hari ini.

Sejak pagi tadi, Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia membatalkan sebahagian besar penerbangan ke Sabah berikutan letusan Gunung Berapi Ruang di Kepulauan Sulawesi, Indonesia.

Letusan abu tebal dari gunung berapi itu dikhuatiri menjejaskan ruang udara sekitarnya termasuk di Sabah, memaksa syarikat penerbangan mengambil langkah membatalkan sementara penerbangan ke negeri ini.

Berpandukan maklumat dimuat naik kedua-dua syarikat penerbangan itu, sekurang-kurangnya 27 penerbangan di Sabah dan lapan penerbangan di Sarawak dibatalkan sejak pagi tadi dan dijadualkan semula.

Berita Harian X