Khamis, 18 April 2024 | 3:52pm
Foto hiasan - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Foto hiasan - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Harga sayur mula naik selepas seminggu Aidilfitri

JOHOR BAHRU: Harga kebanyakan sayur-sayuran dalam pasaran di bandar raya ini meningkat hingga 15 peratus susulan permintaan tinggi dan beberapa jenis sayur mengalami kekurangan bekalan.

Peniaga sayur, Wan Baharuddin Ahmad memaklumkan kenaikan harga itu berlaku sejak semalam, antara lain membabitkan kacang buncis, cili padi, kubis panjang, terung dan sayuran berdaun.

"Pada Ramadan lalu, harga sayur-sayuran menjunam kerana bekalan banyak tetapi tidak laku. Namun sejak semalam, harganya mula naik berikutan bekalan tidak banyak sedangkan permintaan meningkat semula selepas Ramadan.

"Antara sayur mengalami kenaikan harga ialah kacang buncis yang kini mencecah RM10.50 hingga RM11 sekilogram berbanding hanya RM8.70 sekilogram sebelum ini. Harga terung juga naik antara 50 sen hingga RM1 kepada RM10.50 hingga RM11 sekilogram.

"Sayuran berdaun seperti bayam dan kangkung yang hanya dijual pada harga RM2.50 sekilogram pada Ramadan lalu pula kini naik kepada RM5 hingga RM5.50 sekilogram. Malah, pembekal memaklumkan beberapa jenis sayur termasuk kacang panjang, berdepan kekurangan bekalan dan dijangka naik harga sehari dua ini," katanya kepada BH.

Pada 7 April lalu, BH melaporkan harga sayur-sayuran dijangka naik selepas Aidilfitri, kesan penurunan pengeluaran berikutan tenaga kerja sektor itu yang memang sedia kurang, bercuti panjang sempena perayaan itu.

Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia dilaporkan tidak menolak kemungkinan harga hasil ladang terbabit akan naik menjelang 16 atau 17 April, kira-kira seminggu selepas sambutan Aidilfitri.

Mac lalu, persatuan itu dilaporkan bimbang pengeluaran sayur-sayuran di negara ini akan terjejas hingga 40 peratus mulai April berikutan krisis tenaga kerja, sekali gus turut memberi impak terhadap harganya yang dijangka mengalami kenaikan hingga 25 peratus.

Berita Harian X