Khamis, 18 April 2024 | 1:38pm
Pengarah merangkap penasihat undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Pengurus Kanan Saudi Airlines Malaysia, Che Zakiah Ahmad pada majlis menandatangani MoU pembelian tiket Saudi Airlines hari ini. Turut serta Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah (kiri) dan Zamri Zakaria. NSTP/ROHANIS SHUKRI
Pengarah merangkap penasihat undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Pengurus Kanan Saudi Airlines Malaysia, Che Zakiah Ahmad pada majlis menandatangani MoU pembelian tiket Saudi Airlines hari ini. Turut serta Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah (kiri) dan Zamri Zakaria. NSTP/ROHANIS SHUKRI

Andalusia Travel tandatangani MoU beli 70,000 tiket penerbangan Saudi Airlines

KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Saudi Airlines (Saudia) bagi pembelian 70,000 tiket penerbangan SV dengan nilai kontrak hampir RM230 juta untuk ditawarkan kepada jemaah yang ingin menunaikan umrah bagi 2024/2025.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris, berkata perjanjian yang dimeterai hari ini itu adalah bagi musim 1446 Hijrah 2024/2025 untuk pelepasan bermula 11 Julai ini sehingga Mei tahun depan.

Beliau berkata, syarikat penerbangan Saudia sangat sinonim dengan industri umrah dan haji di negara ini dan seluruh dunia.

"Objektif Andalusia menerusi MoU ini, tidak lain dan tidak bukan selain menyantuni seramai mungkin para dhuyufurrahman (iaitu) tetamu Allah mengerjakan ibadah umrah dan haji.

"Setiap tahun, ramai jemaah Andalusia memilih penerbangan Saudia kerana keyakinan dengan perkhidmatan penerbangan syarikat itu, selain mudahnya untuk tiba di Jeddah atau Madinah dalam masa lapan hingga sembilan jam sahaja," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU bersama Saudi Airlines, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Datuk Md Daud Che Ngah; Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin; Pengurus Kanan Saudi Airlines Malaysia, Che Zakiah Ahmad dan Penolong Pengurus (Operation) Saudi Airlines Malaysia, Zamri Zakaria.

Dalam pada itu, Ida berkata, hasil suntikan daripada MoU hari ini, setakat hari ini, pihaknya sudah menjual 11,300 pakej umrah bagi tahun 1446H.

Selain itu, beliau berkata, ketegangan di Asia Barat kini sudah pasti membuatkan orang ramai khuatir dan gusar untuk mengerjakan umrah.

Bagaimanapun katanya, orang ramai tidak perlu risau kerana pihak Andalusia sentiasa bekerjasama dengan kerajaan (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) demi menjaga keselamatan semua jemaah umrah dan haji dari masa ke semasa.

"Alhamdulillah, setakat ini, belum lagi ada pembatalan pakej bulan Syawal atau haji di Andalusia disebabkan faktor ketakutan (akibat ketegangan yang berlaku), malah hampir 800 orang jemaah Andalusia berada di Makkah atau Madinah buat masa ini," katanya.

Katanya, Andalusia akan sentiasa melaporkan situasi jemaah kepada pihak kedutaan, terutamanya sekiranya berlaku sebarang malapetaka atau kecemasan.

"Justeru, kami yakin dengan MoU yang ditandatangani hari ini akan membuka pintu kepada lebih ramai lagi umat Islam menunaikan fardu haji dan umrah.

"Andalusia Travel terus komited untuk mengekalkan dan menambah baik mutu perkhidmatan kami kepada jemaah umrah yang dianggarkan akan bertambah sehingga mencecah 80,000 orang setahun pada musim umrah 1446H nanti," katanya.

Selain untuk menyantuni lebih ramai umat Islam untuk menunaikan haji dan umrah, Ida berkata, MoU hari ini juga untuk memberi jaminan dan kepercayaan kepada jemaah bahawa penerbangan dan pakej yang ditawarkan kepada adalah mengikut jadual yang ditetapkan.

Berita Harian X