Khamis, 18 April 2024 | 11:10am
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) hanya akan melepaskan air dari Empangan Mengkuang yang diperbesarkan (EMD) sekiranya tidak dapat mengabstrak air mentah mencukupi dari Sungai Muda.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) hanya akan melepaskan air dari Empangan Mengkuang yang diperbesarkan (EMD) sekiranya tidak dapat mengabstrak air mentah mencukupi dari Sungai Muda.

Kemarau: PBAPP hanya akan ambil bekalan air EMD jika perlu

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) hanya akan mendapatkan air daripada Empangan Mengkuang yang diperbesarkan (EMD) sekiranya bekalan Sungai Muda tidak mencukupi.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan berkata kelmarin paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang PBAPP di Seberang Perai didapati turun kepada 1.72 meter (m) sebelum menurun lagi kepada 1.61 meter semalam.

"Syarikat Air Darul Aman (SADA) kemudian mengumumkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Pejabat Lembangan Sungai Muda (PLSM) telah meningkatkan jumlah air yang dilepaskan dari Empangan Beris ke Sungai Muda, daripada 864 juta liter air mentah sehari (JLH) kepada 1,296 JLH.

"PBAPP terus mengabstrak air mentah yang mencukupi daripada sungai tanpa menggunakan EMD. Bagaimanapun, PBAPP juga berjaya menjalankan percubaan pelepasan dari EMD sebagai persediaan untuk senario kes yang lebih teruk," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pathmananthan berkata EMD berfungsi sebagai rizab kemarau strategik yang menjadi sumber sokongan ketika cuaca kering dengan ia boleh digunakan jika PBAPP tidak dapat mendapatkan air mencukupi dari Sungai Muda.

Katanya, pada masa ini PBAPP mengambil kira-kira 1,200 JLH dari Sungai Muda untuk pengeluaran optimum air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

"LRA ini menghasilkan kira-kira 85 peratus daripada air terawat yang diagihkan di Pulau Pinang setiap hari.

"Kapasiti pelepasan maksimum daripada EMD ialah 600 JLH, atau kira-kira 50 peratus daripada air mentah yang diperlukan oleh LRA Sungai Dua untuk beroperasi secara optimum.

"Oleh itu, selagi PBAPP dapat mengabstrak 600 JLH air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan 600 JLH daripada EMD, sepatutnya tiada gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Pinang," katanya.

Pathmananthan berkata tiada ancaman segera diterima terhadap bekalan air di Pulau Pinang ketika ini tetapi PBAPP beroperasi pada status siap siaga yang tinggi.

"Kita beroperasi pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi memandangkan Sungai Muda adalah sumber air mentah utama Pulau Pinang.

"PBAPP akan memantau paras sungai dengan teliti. Kita akan memberikan kemas kini awam, apabila senario Sungai Muda semakin baik atau semakin merosot," katanya.

Berita Harian X