Rabu, 17 April 2024 | 5:34pm
Saarani pada majlis menyampaian Bantuan Sara diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak. - Foto NSTP/L Manimaran
Saarani pada majlis menyampaian Bantuan Sara diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak. - Foto NSTP/L Manimaran

Perak kumpul maklumat keadaan pelajar di Jordan

IPOH: Kerajaan Perak sedang mengumpul maklumat berkaitan pelajar negeri itu yang menuntut di Jordan susulan ketegangan antara Iran dan Israel.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata usaha itu sedang dilakukan biarpun jumlah pelajar berkenaan tidak ramai seperti di Mesir.

"Kita sedang kumpul maklumat. Namun pelajar kita lebih ramai di Mesir berbanding di Jordan. Pelajar di Jordan pun diuruskan atase pelajar di Mesir," katanya ditemui selepas majlis Majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Negeri Perak Tahun 2024, di sini, hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri juga sedia membantu pelajar di Universiti Al-Azhar di Mesir, Muhammad Nur Hadi Salehuddin membawa pulang lebih 200 kitab turath tulisan ulama Nusantara yang dikumpul di negara itu.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan berbincang mengenai pembiayaan dan bantuan untuk pelajar berkenaan serta urusan membawa balik kitab-kitab tersebut.

Saarani berkata, usaha dibuat itu bukan sesuatu yang mudah dan sebarang bentuk penghargaan atau pengiktirafan boleh mencipta galakan serta motivasi kepada orang lain untuk membuat perkara sama.

"Kita juga dimaklumkan bahawa perbincangan sedang dilakukan untuk membolehkan kitab-kitab berkenaan yang merupakan khazanah sangat berharga ditempatkan di perpustakaan penyelidikan MAIPk.

"Kita ada perpustakaan itu yang telah diwujudkan bagi mengumpul, menyimpan dan merekodkan sumber dan bahan bersejarah berkaitan pentadbiran agama Islam khusus negeri Perak, " katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Nur Hadi yang merupakan penuntut tahun akhir Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin pengkhususan Pengajian Hadis, sudah membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya bagi mendapatkan kitab berkenaan.

Kitab-kitab itu termasuklah karangan Syeikh Mohd Idris al-Marbawi dan Syeikh Jaafar Hussein yang kebanyakannya dikarang dalam tulisan Jawi dan Aceh sekitar tahun 1920-an hingga 1960-an.

Berita Harian X