Rabu, 17 April 2024 | 9:49am
(Gambar fail) Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
(Gambar fail) Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

'UMNO berpeluang menang jika PRK diadakan' - Ketua Penerangan PAS

KOTA BHARU: UMNO berpeluang menang, terutama di kerusi Parlimen yang parti itu kalah tipis sebelum ini, jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang tujuh wakil rakyat daripada BERSATU yang mengisytiharkan sokongan kepada pimpinan pihak lawan.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari kongsikan pandangannya itu dengan berpendapat UMNO dijangka mendapat bantuan undi penyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRK berkenaan.

"Khairy Jamaluddin (bekas Ketua Pemuda UMNO) kata sekiranya berlaku PRK di tujuh kerusi lompat itu, BERSATU boleh menang semuanya jika ia diadakan pada tahun ini.

"Saya sedikit berbeza pandangan. Saya berpendapat UMNO berpeluang untuk menang, terutama di kerusi-kerusi Parlimen yang kalah tipis.

"Kali ini jika berlaku PRK, mereka akan dapat bantuan undi penyokong PH. Ini masanya untuk mereka bangkit semula.

"Jadi tugas UMNO sekarang dalam kerajaan ialah mendesak Speaker Dewan Rakyat mengisytiharkan kerusi-kerusi ini kosong supaya berlaku PRK," katanya dalam kenyataan melalui Facebook.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen daripada BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut berpendapat memandangkan enam kerusi Parlimen terbabit menyaksikan UMNO menduduki tempat kedua dalam keputusan pilihan raya sebelum ini, maka parti itu layak meletakkan calon untuk bertanding jika PRK diadakan.

"Semoga pandangan ini diambil kira," katanya.

Media sebelum ini melaporkan keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN daripada BERSATU yang disifatkan sebagai berpaling tadah kerana menyokong pimpinan pihak lawan, sudah tergugur secara automatik serta perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, dipetik berkata mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.

Bagaimanapun, Mohd Azizi dilapor menegaskan tidak akan mengosongkan kerusi walaupun diarahkan oleh parti untuk berbuat sedemikian.

Mohd Azizi dipetik berkata, BERSATU atau Razali tidak mempunyai hak untuk mengarahkan beliau dan enam lagi wakil rakyat terbabit untuk mengosongkan kerusi, sebaliknya hanya Speaker layak berbuat sedemikian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan meletak calon bertanding di enam kawasan Parlimen terbabit sekiranya berlaku PRK.

Pengerusi BN dan Presiden UMNO itu dipetik menjelaskan ia berikutan Parlimen Kuala Kangsar, Gua Musang, Labuan, Jeli, Bukit Gantang dan Tanjong Karang adalah kerusi tradisi parti berkenaan.

Berita Harian X