Rabu, 17 April 2024 | 9:01am
Kamarulsyah bersama Nor Farhani meninjau operasi di PPS Balai Raya Japerun Durian Tunggal, malam tadi. - Foto ihsan APM Melaka
Kamarulsyah bersama Nor Farhani meninjau operasi di PPS Balai Raya Japerun Durian Tunggal, malam tadi. - Foto ihsan APM Melaka

Banjir sekitar Alor Gajah, 51 penduduk 3 kampung dipindahkan ke PPS

MELAKA: Seramai 51 penduduk daripada 13 keluarga dari tiga kampung dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Japerun Durian Tunggal, di sini, setakat jam 8 pagi ini, susulan banjir kilat melanda beberapa kawasan sekitar Alor Gajah sejak malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata mangsa adalah penduduk dari Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Bukit Tambun di Durian Tunggal.

Katanya, hujan lebat selama lebih dua jam sejak jam 4 petang semalam menyebabkan air parit dan sungai melimpah ke kawasan penempatan yang rendah.

Banjir kilat melanda beberapa kawasan sekitar Alor Gajah
Banjir kilat melanda beberapa kawasan sekitar Alor Gajah

Justeru bagi mengelak sebarang risiko, beliau berkata, 13 keluarga terbabit akur untuk berpindah sementara ke PPS berkenaan yang diaktifkan pada jam 9 malam tadi.

"Antara kawasan lain yang turut terjejas di daerah Alor Gajah ialah Kampung Tabuh Naning, Pekan Lubuk China, Kampung Sungai Jernih, Taman Masjid Tanah Ria, Kampung Brisu dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Durian Tunggal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota APM meneruskan pemantauan rapi di kawasan terjejas, manakala orang ramai diminta peka dan mengikut arahan pasukan penyelamat bagi mengelak sebarang risiko banjir.

Terdahulu, Kamarulsyah bersama Timbalannya, Mejar (PA) Nor Farhani Mat Husin, turut meninjau operasi di PPS berkenaan.

Berita Harian X