Selasa, 16 April 2024 | 7:18pm
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

3 stesen LRT alami gangguan bekalan kuasa akibat disambar petir

KUALA LUMPUR: Tiga stesen Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengalami gangguan bekalan kuasa akibat disambar petir, petang ini, menyebabkan kekerapan perkhidmatan tren menjadi terhad.

Menurut Rapid KL melalui Facebooknya, ia membabitkan Stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia dan Taman Jaya.

"Pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan LRT seperti biasa dengan kekerapan yang terhad," menurutnya.

Pada masa sama, menurut Rapid KL, pengguna boleh menggunakan laluan rel alternatif membabitkan LRT KL Sentral kepada Transit Aliran Massa (MRT) Muzium Negara dan Monorel KL Sentral; LRT Dang Wangi kepada Monorel Bukit Nanas; LRT KLCC kepada MRT Persiaran KLCC; serta LRT Ampang Park kepada MRT Ampang Park.

"Kami memohon maaf atas kesulitan. Terima kasih atas kesabaran anda," katanya.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan pula memaklumkan bahawa kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.30 petang tadi itu menyebabkan tren-tren tambahan dari Depoh LRT Subang tidak dapat digerakkan untuk kegunaan operasi waktu puncak.

Susulan gangguan berkenaan, katanya, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya beroperasi dengan kekerapan tren empat hingga lima minit.

"Beberapa fasiliti seperti eskalator, lampu dan lif di tiga stesen LRT, iaitu Kelana Jaya, Taman Bahagia dan Taman Jaya, tidak dapat berfungsi. Namun, pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan LRT seperti biasa di stesen berkenaan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kerja-kerja baik pulih masih giat dijalankan oleh jurutera Rapid Rail, dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan menerusi kenyataan media susulan dan platform media sosial Rapid KL.

"Anggota Polis Bantuan dan petugas stesen telah ditempatkan di platform serta kawasan ruang legar stesen bagi membantu pergerakan penumpang. Pengumuman di platform juga dijalankan secara berterusan.

"Pihak Rapid Rail memohon maaf atas kelewatan serta kesulitan yang dialami penumpang, dan kami amat menghargai kesabaran anda," katanya.

Berita Harian X