Selasa, 16 April 2024 | 6:09pm

3,500 unit rumah ATM siap tahun depan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,500 unit daripada 7,374 kediaman Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan siap hujung tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagi perkembangan kerja pembinaan SASaR Sungai Besi, di sini, yang bermula 21 hari lebih awal daripada jadual asal, kini sudah pun mencapai 65 peratus.

Projek inisiatif Kementerian Pertahanan (Mindef) itu, katanya, bagi memberi manfaat kepada anggota ATM, veteran dan kakitangan awam kementerian itu.

"Soal perumahan bagi anggota tentera perkara yang diberi tumpuan dan penekanan bagi kerajaan, antaranya program-program perumahan yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan," katanya selepas melawat tapak perumahan Projek SASaR Sungai Besi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mohamed Khaled berkata, pembinaan dua lagi pembinaan projek pembinaan SASaR ATM di Kem Wardieburn dan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Setapak, Kuala Lumpur dijangka bermula pada Julai ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, ada perancangan SASaR akan diperluas ke negeri lain berdasarkan kepada permintaan.

"Pelaksanaan yang lain kita jangka bermula selepas mendapat semua kelulusan merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Projek rintis, kita gunakan SASaR Sungai Besi untuk kita lihat pelaksanaan dan kejayaannya. Kita merancang laksanakan di tempat lain di seluruh negara.

"Memang ada permintaan di negeri lain. Kita akan buat kajian pasaran. Kita tidak bina sebanyak seperti di sini," katanya.

Mohamed Khaled (tiga, kanan) meninjau pembinaan perumahan bagi Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sungai Besi, hari ini. - Foto BERNAMA
Mohamed Khaled (tiga, kanan) meninjau pembinaan perumahan bagi Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sungai Besi, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X