Selasa, 16 April 2024 | 3:51pm
Sanusi (kanan) ketika meninjau kawasan padi huma di Kampung Radik, Chepir hari ini
Sanusi (kanan) ketika meninjau kawasan padi huma di Kampung Radik, Chepir hari ini

Sanusi kahwin lagi? Ini jawapan MB Kedah

SIK: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menafikan beliau sudah berpoligami seperti yang sedang ditularkan pihak tertentu menerusi media sosial ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, beliau belum berhasrat berbuat demikian, namun tidak menolak kemungkinan itu sekiranya ada jodoh dengan mana-mana wanita.

"Belum lagi (berkahwin baharu). Mana tahu kalau ada jodoh, kalau jodoh dengan orang Sik apa salahnya? Orang Sik, orang Alor Setar ka," katanya berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Benih Padi Huma di Kampung Radik, Chepir di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa Muhammad Sanusi sudah berkahwin lain secara senyap bersama seorang wanita.

Muhammad Sanusi turut memuat naik status di laman Facebooknya kelmarin, mengenai saranan berkahwin pada bulan Syawal dengan catatan 'Dok (berada di) Pahang'.

Status itu mengundang reaksi serta komen pengikutnya di media sosial itu.

Berita Harian X