Selasa, 16 April 2024 | 2:55pm
Pengerusi MyCare, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharrudin Mustapha bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mycare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar bergambar bersama sukerelawan pada sidang media misi bantuan kemanusiaan ke Gaza (freedom flotilla coalition) di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCare). - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Pengerusi MyCare, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharrudin Mustapha bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mycare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar bergambar bersama sukerelawan pada sidang media misi bantuan kemanusiaan ke Gaza (freedom flotilla coalition) di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCare). - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Doktor, aktivis sertai misi 'Freedom Flotilla Coalition' ke Gaza

KUALA LUMPUR: Seramai 20 orang terdiri daripada doktor, aktivis dan pengamal media bakal menyertai pelayaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, 'Freedom Flotilla Coalition' (FFC) yang akan berlepas dari Istanbul, Turkiye Ahad ini.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Datuk Seri Dr Kamal Nasaruddin Mustapha, berkata misi itu adalah gerakan akar umbi dan multinasional untuk mencabar sekatan haram Israel ke atas wilayah Gaza.

Selain itu, katanya, misi ini juga untuk memberi kesedaran kepada masyarakat antarabangsa terhadap penindasan yang berlaku terhadap penduduk Gaza.

"Aktivis dari seluruh dunia akan berkumpul di Istanbul pada Khamis ini untuk persiapan akhir sempena misi 'Break the Seige of Gaza' oleh FFC bagi tahun ini.

"FFC menerima 11,000 permohonan penyertaan daripada 30 negara, bagaimanapun hanya 1,000 peserta terpilih termasuk 20 aktivis warga tempatan.

"Peserta lain termasuk dari Kanada, Amerika Syarikat, Sweden, Itali, Sepanyol, Brunei, Australia dan banyak lagi," katanya pada sidang media Misi Flotila ke Gaza tahun ini, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar dan Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hasan.

Semua peserta yang terbabit dalam misi ini bersatu di bawah gerakan FFC.

Kamal berkata, objektif penubuhan FFC pada 2010 adalah untuk memecah kepungan di Gaza yang berada di bawah kepungan Israel selama lebih 17 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, misi pelayaran kali ini akan menggunakan tiga kapal besar terdiri daripada satu kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang memuatkan lebih 1000 orang.

"Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak iaitu bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa kenderaan termasuk lapan ambulans," katanya.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang terbabit dalam misi ini termasuk MyCARE, Insani Yardim Vakfi (IHH), Ship to Gaza Norway, Rumbo A Gaza, US Ship to Gaza, Sweeden ship to Gaza, Canadia boat to Gaza, Freedom Flotilla Italia, Kia Ora to Gaza, Palestine Solidarity Alliance, Mavi Marmara Freedom and Solidarity Association, Miles of Smiles dan Free Gaza Australia.

Ketika ditanya pemberita berkenaan jaminan keselamatan semua peserta, Fauziah menegaskan isu keselamatan semua yang terbabit menjadi keutamaan.

"Keselamatan aktivis adalah keutamaan supaya semua selamat sampai menghantar bantuan keperluan dan pulang ke tanah air dalam keadaan baik.

"Kami akan memberi tekanan kepada Israel dan Amerika Syarikat untuk menjaga keselamatan kami supaya sampai ke Gaza untuk menghantar bantuan di sana.

"Apa yang penting adalah rundingan bersama mereka untuk membenarkan kami masuk ke Gaza," katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta misi Flotila ke Gaza, Norsham Abu Bakar, 62, berkata, beliau tidak mengalami sebarang masalah dan kerisauan untuk menyertai misi ini.

"Sebelum ini saya mempunyai pengalaman menyertai misi Women Boat to Gaza dan kini saya lebih tenang untuk mengikuti misi Break the Seige.

"Alhamdulillah, keluarga tidak menghalang saya untuk ikut mana-mana aktiviti kemanusiaan. Mereka selalu menyokong saya," katanya.

Berita Harian X