Selasa, 16 April 2024 | 1:23pm
Anwar dalam hantarannya di Facebook berkata beliau turut menyatakan penghargaannya kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi dan Kerajaan Mesir atas kerjasama yang diberikan, dalam membawa keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri keluar dari Palestin. - Foto FB

Kejayaan satukan keluarga Nadir bukti keprihatinan tinggi PM soal kebajikan rakyat - Mohd Na'im

KUALA LUMPUR: Kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga berjaya menyatukan keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman membuktikan keprihatinan tinggi Perdana Menteri kepada soal kebajikan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata kejayaan itu juga menzahirkan kebijaksanaan kepimpinan Anwar yang cukup dihormati dunia sehingga misi besar menyatukan keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri yang sebelum ini berada di Palestin telah terlaksana dengan jayanya.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesungguhan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sehingga berjaya menyatukan keluarga Saudara Nadir Al-Nuri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar. - Foto fail NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar. - Foto fail NSTP

Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak untuk terus bersama-sama dengan Perdana Menteri bagi menyatakan solidariti kepada perjuangan menuntut keamanan dan kesejahteraan negara Palestin.

"Marilah bersama-sama dengan keberkatan bulan Syawal ini, kita memperkukuh kesatuan dan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan keberkatan buat rakyat Palestin," katanya.

Terdahulu Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatannya bertajuk '183 Hari Yang Panjang' menerusi hantaran di akaun Facebook serta Instagram berkata Anwar merupakan individu penting yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel.

Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatannya berkata, Anwar adalah individu penting, yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel. - Foto IG nadiralnuri

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata sehari sebelum Aidilfitri beliau dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri Farhan Fauzi, yang memintanya datang ke satu lokasi khas selain membenarkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, untuk turut sama ke lokasi itu.

Beliau menyifatkan misi membawa keluarganya dari Gaza itu sebagai 'misi gila', kerana bukan mudah untuk membawa keluar keluarganya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus di Gaza, selain ketegangan di sempadan yang berlanjutan.

Semalam Anwar menerusi hantaran di laman Facebooknya turut menyatakan penghargaan kepada Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Mesir atas kerjasama yang diberikan dalam membawa keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri keluar dari kawasan bergolak itu.

– BERNAMA

Berita Harian X