Selasa, 16 April 2024 | 11:10am
JKM Subang Jaya cari ibu Alden Noah. Foto Ihsan JKM Subang Jaya
JKM Subang Jaya cari ibu Alden Noah. Foto Ihsan JKM Subang Jaya

'Di manakah kau ibu?

PUTRAJAYA: Masa depan seorang bayi lelaki menjadi tanda tanya, selepas menjadi mangsa pengabaian oleh ibu kandung sendiri.

Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Subang Jaya, Nur Fadilah Ali, berkata bayi yang dinamakan sebagai Alden Noah, kini berusia tujuh bulan sebelum ini ditinggalkan di Hospital Shah Alam (HSA) .

Beliau berkata, bayi berkenaan dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat oleh pegawai perubatan HSA menyatakan bayi itu telah dibawa ke HSA oleh seorang pengasuh warga Indonesia pada 23 Januari lalu selepas diserang sawan.

Katanya, siasatan awal mendapati ibu kandung bayi itu bernama Phoo Pyae Sone, warga Myanmar meninggalkan anak kandungnya ke atas jagaan pengasuh sejak hujung tahun 2023 kerana bekerja di Rawang, Selangor.

"Pihak hospital memaklumkan, pengasuh berkenaan telah menjaga bayi itu selama dua hari di wad sebelum menghilangkan diri," katanya.

Nur Fadilah berkata, pihaknya juga telah merujuk perkara itu kepada pihak polis dan dimaklumkan kes berkenaan masih dalam siasatan dan masih belum berjaya menemui ibu kandung dan pengasuh bayi itu.

Katanya, kes itu juga telah dibawa ke Mahkamah Kanak-Kanak Petaling Jaya pada 27 Februari lalu bagi mendapatkan Perintah Jagaan Sementara di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ditempatkan di bawah institusi JKM bagi membolehkan Pelindung menjalankan siasatan dan merancang penempatan.

Katanya, tempat tinggal pengasuh ketika bayi itu ditinggalkan adalah di Jalan Bandar 2, Pusat Bandar Puchong.

"JKM memohon bantuan orang ramai bagi mengesan ibu kandung atau waris bayi berkenaan dan individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi di talian 03-56343095 atau hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya," katanya.

Berita Harian X