Selasa, 16 April 2024 | 9:14am

Siap sedia hadapi ketidaktentuan akibat serangan dron Iran

PERKEMBANGAN terbaharu di Asia Barat khasnya serangan dron dan peluru berpandu dari Iran, Iraq, Syria dan Yaman terhadap kedudukan strategik negara haram Israel sejak Sabtu lalu kini mencetuskan kebimbangan global, termasuk Malaysia.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekan butang amaran awal bagi mengesan impak awal susulan pergolakan terbaharu di rantau itu terutama kedudukan pasaran kewangan, ekonomi dan keselamatan awam.

Walaupun ada dakwaan daripada pakar keselamatan dan strategik antarabangsa menyatakan serangan terhadap Iran itu sekadar 'wayang' antara negara kuasa senjata besar Asia Barat, kerajaan tetap perlu merangka strategik khas untuk mendepaninya.

Dalam arus globalisasi dan 'dunia tanpa sempadan' hari ini, tiada alasan bagi mana-mana kerajaan dan pemerintah termasuk Malaysia bersikap 'tunggu dan lihat' sahaja terhadap sesuatu konflik atau pergolakan berlaku di luar negara kerana impaknya pasti sampai juga ke negara ini. Cepat atau lambat sahaja bila ia akan tiba.

Lihat sahaja impak kepada global apabila perang Russia-Ukraine tercetus, ia menyebabkan krisis kepada keterjaminan makanan di banyak negara termasuk Malaysia. Krisis atau peperangan di negara lain mewujudkan kesan 'teori domino' terutama terhadap bekalan makanan dan bahan api.

Bahkan sehingga kini, perang Russia-Ukraine menjejaskan sumber serta bekalan gandum dunia, mengganggu permintaan dan penawaran beras, bawang, mempengaruhi harga bahan api serta memberi tempias kepada kedudukan daya saing, termasuk mata wang negara, menjejaskan ekonomi, perdagangan, keterjaminan makanan dan hubungan diplomatik secara langsung atau tidak langsung.

Iran lancar serangan dron ke atas Israel, kelmarin. - Foto AFP
Iran lancar serangan dron ke atas Israel, kelmarin. - Foto AFP

Banyak pengajaran dan iktibar boleh dipelajari kesan daripada peperangan berlaku sebelum ini, sekali gus menuntut kerajaan melakukan persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama dari sudut ekonomi, keterjaminan makanan dan perdagangan.

Dalam konflik terbaharu di Asia Barat ini, pengalaman lalu menunjukkan ia pasti mempengaruhi bekalan dan harga komoditi bahan api. Bermakna, negara perlu bersedia dengan kemungkinan berdepan krisis bekalan minyak dan kenaikan harga komoditi susulan konflik terbaharu tercetus di Asia Barat.

Tambahan pula, kerajaan bakal melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api secara bersasar, secara kebetulan tercetus pula konflik di Asia Barat. Hakikatnya, subsidi masih menjadi elemen penting untuk menyokong kesejahteraan rakyat, namun lebih penting lagi ia perlu diurus dengan cermat bagi memastikan golongan benar-benar layak mendapat manfaatnya.

Segala pertimbangan wajar daripada pelbagai sudut perlu diambil kira serta dinilai baik buruknya kepada negara serta kehidupan rakyat. Bermakna, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta kementerian terbabit dalam segala aktiviti ekonomi dan perdagangan domestik serta antarabangsa perlu bersedia lebih awal merangka strategi jitu menghadapi sebarang kemungkinan akibat konflik terbaharu di Asia Barat, 'sediakan payung sebelum hujan'.

Berita Harian X