Isnin, 15 April 2024 | 9:44pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) berbual sesuatu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sany Araby Al-Kahery (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam satu pertemuan baru-baru ini. -Foto Ihsan Akaun FB Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatannya berkata, Anwar adalah individu penting, yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel. - Foto IG nadiralnuri

'Misi Gila' yang berakhir bahagia - Aktivis kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Seperti dalam mimpi, aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman tidak menyangka panggilan telefon yang diterima sehari sebelum Aidilfitri membawa berita gembira buat dirinya.

Manakan tidak, selepas hampir 200 hari berjauhan dengan keluarga yang menetap di Gaza, akhirnya doanya untuk bertemu dengan anaknya itu tercapai.

Bercerita lanjut bagaimana anaknya berjaya dibawa pulang ke Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu berkata, satu 'Misi Gila' dilakukan oleh kerajaan.

Beliau mengakui ada meminta pertolongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun jawapan yang diterima ketika itu 'tidak membahagiakan'.

Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatannya berkata, Anwar adalah individu penting, yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel. - Foto IG nadiralnuri
Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatannya berkata, Anwar adalah individu penting, yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel. - Foto IG nadiralnuri

"Kisah bermula saat Gaza sedang sengit berperang manakala keluarga saya berjaya mengharungi kepayahan dan sampai ke Rafah untuk menyelamatkan diri.

"Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby (Ketua Pegawai Eksekutif) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat bulan lalu di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.

"Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas 'saya akan bantu' dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya.

"Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja. Namun dalam surat saya, ada saya akhiri ayat dengan 'Kepada Allah jualah kami berserah'. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segala-galanya kepada Allah," katanya yang berkongsi perkara itu di Facebook.

Bercerita lanjut, Nadir berkata, sehari sebelum Aidilfitri beliau dihubungi oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang memintanya hadir di sebuah lokasi rahsia.

Katanya, Ahmad Farhan sebelum ini memang kerap menjemput mereka ke pejabatnya di Putrajaya serta selalu menghubunginya bagi bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.

"Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan (Dr) Sani saja dibenarkan ke sana! Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam drama.

"Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan.

"Saya sudah biasa melalui perang di Gaza, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan. Tetapi misi ini saya katakan 'Misi Gila' kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan.

"Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain," katanya.

Nadir berkata, proses yang dilakukan oleh pasukan itu sangat cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat.

"Tetapi watak utama dalam 'Misi Gila' ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Suka beliau atau tidak, dalam soal Palestin, umat perlukan satu ketumbukan.

"Palestin pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan. Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti.

"Tindakan PMX (Anwar) menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan kita, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hamas dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Chancellor German menjadikan nama Malaysia disebut-disebut dalam kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berharap rakyat di negara ini terus bersatu membela nasib saudara di Palestin serta menjadi jaguh di peringkat dunia dan berani mengiringi kata-kata dengan langkah di alam nyata.

"Untuk PMX, PMO (Pejabat Perdana Menteri) dan (Dr) Sani semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.

"Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua," katanya.

Berita Harian X