Isnin, 15 April 2024 | 6:09pm
Ketua Unit sayap Wanita Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Hemala AP Sivam
Ketua Unit sayap Wanita Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Hemala AP Sivam

Dana khas RM50 juta bantu perkasa usahawan wanita India di negara ini

KUALA LUMPUR: Dana Khas RM50 juta yang diperuntukkan khusus untuk usahawan dan wanita India menerusi Program PENN (Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women) adalah inisiatif yang signifikan bagi membantu memperkasakan masa depan lebih terjamin untuk wanita India di negara ini.

Ketua Unit sayap Wanita Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Hemala AP Sivam, berkata kemudahan disediakan itu satu lembaran baharu yang mengiktiraf perjuangan usahawan wanita India Malaysia selama ini.

Beliau berkata, ramai wanita memerlukan sokongan, kerjasama, panduan dan dana untuk memaju serta memperkasakan lagi perniagaan mereka ke tahap lebih baik.

"Sayap Wanita MAICCI berterima kasih kepada kerajaan khususnya Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan yang mengusahakan inisiatif cukup bermakna melalui kerjasama, sokongan serta komitmen cukup padu daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Pengumuman dana RM50 juta ini dapat mengangkat masa depan usahawan wanita India menerusi PENN di negara ini ke satu tahap lebih terjamin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Ramanan mengumumkan AIM memperuntukkan dana khas RM50 juta bagi memperkasakan usahawan wanita India menerusi program PENN bagi memajukan, memperkasa dan menggemilangkan wanita India di negara ini seiring gagasan Malaysia Madani.

Beliau berkata, peruntukan menggunakan dana dalaman AIM itu memberi manfaat kepada lebih 7,100 Sahabat Usahawan India yang baharu dan menjadikan jumlah penerima manfaat daripada Skim Pinjaman Ikhtiar AIM kepada 10,200 orang termasuk 3,100 Sahabat Usahawan sedia ada, sekali gus merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memastikan tidak ada rakyat tercicir dalam usaha pembangunan negara.

Hemala berkata, MAICCI sedia membantu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan AIM menjayakan program PENN ini di seluruh negara melalui kerjasama strategik khususnya melalui kempen kesedaran dan sebagainya.

Beliau berkata, pembabitan, penyertaan dan penampilan lebih ramai usahawan wanita India akan merancakkan lagi program ini.

"Saya yakin lebih ramai usahawan wanita dapat dilahirkan melalui program ini yang akan memberi impak cukup berkesan bagi pembangunan ekonomi negara.

"Permohonan dibuka kepada mereka yang layak bermula hari ini di 124 cawangan AIM di seluruh negara," katanya.

Berita Harian X