Ahad, 14 April 2024 | 8:01pm
Jutaan jemaah berhimpun di Masjidil Haram dan Masjid An Nabawi pada malam ke-27 Ramadan. - Foto X/Haramain Info
Jutaan jemaah berhimpun di Masjidil Haram dan Masjid An Nabawi pada malam ke-27 Ramadan. - Foto X/Haramain Info

Konflik Iran-Israel: TH teruskan persiapan bagi musim Haji 2024 seperti dirancang - Mohd Na'im

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin susulan perkembangan terbaru serangan balas Iran terhadap Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata setakat ini, Tabung Haji (TH) masih meneruskan persiapan bagi musim haji 2024 seperti dirancang.

"Semua pihak dimohon untuk terus bertenang serta sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memantau situasi terkini di Asia Barat susulan serangan balas Iran terhadap Israel semalam.

"Serangan balas itu sudah tentu meningkatkan ketegangan yang sudah pun berlarutan sejak lebih tujuh bulan lalu akibat kedegilan dan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin yang tidak berdosa," katanya.

Serangan Iran ke atas Israel itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria, 1 April lalu yang mengorbankan tujuh Pengawal Revolusi termasuk dua daripadanya jeneral.

Tehran sejak itu berikrar membalas dendam terhadap serangan yang didakwa dilakukan Israel, malah Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berjanji, rejim jahat Israel akan dihukum.

Media Iran menyifatkan serangan ke atas Israel sebagai kompleks kerana ia turut membabitkan sekutu Iran di Yaman, Lubnan dan Iraq.

Berita Harian X