Ahad, 14 April 2024 | 12:40pm
Mohd Azizi Abu Naim. - Foto fail NSTP
Mohd Azizi Abu Naim. - Foto fail NSTP

Hanya Speaker boleh arahkan kosongkan kerusi - MP Gua Musang

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menegaskan tidak akan sesekali mengosongkan kerusi walaupun diarahkan oleh parti untuk berbuat sedemikian.

Mohd Azizi berkata, BERSATU atau Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris tidak mempunyai hak untuk mengarahkan dia dan enam yang lain mengosongkan kerusi.

"Hanya Speaker yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan saya dan rakan-rakan lain mengosongkan kerusi.

"Itu pun arahan pengosongan kerusi hanya dibuat disebabkan tiga faktor iaitu wakil rakyat kerusi berkenaan meninggal dunia, gila atau bankrap.

"Untuk kes kami, kami hanya menyokong kerajaan bukannya individu tertentu. Justeru, tiada sebab saya dan rakan-rakan untuk mengosongkan kerusi hanya disebabkan arahan parti," katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang berpaling tadah kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris dilaporkan, berkata mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.

Menyifatkan kenyataan Razali, Mohd Azizi berkata, kenyataan seperti itu hanya sekadar mahu meraih populariti.

"Apapun sehingga hari ini saya tidak menerima sebarang notis daripada parti. Bukan saya saja, rakan-rakan yang lain pun sama.

"Apa yang saya mahu fokus sekarang bekerja untuk rakyat, saya tidak mahu melayan sebarang kenyataan yang boleh merugikan masa kerana ini masa untuk saya bekerja," katanya.

Berita Harian X