Ahad, 14 April 2024 | 12:34pm
Sistem antipeluru berpandu beroperasi selepas Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel, seperti yang dilihat dari Ashkelon, Israel pada 14 April 2024. - Foto REUTERS
Sistem antipeluru berpandu beroperasi selepas Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel, seperti yang dilihat dari Ashkelon, Israel pada 14 April 2024. - Foto REUTERS

Malaysia perlu waspada kesan ekonomi serangan Iran ke atas Israel

ALOR SETAR: Malaysia perlu berwaspada daripada aspek ekonomi dan hubungan antarabangsanya bagi berhadapan implikasi serangan ketenteraan dilakukan Iran ke atas Israel semalam.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata walaupun kesan serangan itu masih minimum ke atas negara, Malaysia tidak boleh mengelak sekiranya berlaku peperangan berskala besar.

Jelasnya, mengambil contoh serangan Russia ke atas Ukraine pada 2022, walaupun peperangan itu berlaku jauh dari Malaysia, kesannya dapat dirasai apabila berlaku kenaikan harga barangan berkaitan bidang ternakan.

"Setakat ini, Malaysia belum berasa kesan serangan itu (Iran ke atas Israel). Namun, kita ada kebimbangan jika berlaku peperangan berskala besar yang membabitkan negara seperti Amerika Syarikat dan Russia yang mempunyai kekuatan ketenteraan.

"Umum mengetahui Iran adalah antara negara pengeluar minyak utama dunia, selain negara di rantau Asia Barat yang mungkin terjejas akibat peperangan itu mempunyai telaga minyak yang besar.

"Disebabkan itu, kesan secara langsung yang mungkin dihadapi Malaysia adalah dari sudut ekonomi domestik dan global yang masih bergantung kepada pasaran minyak di peringkat antarabangsa," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Semalam, Iran melancarkan berpuluh dron dan peluru berpandu di wilayah diduduki Israel bagi memulakan serangan yang berkemungkinan mencetuskan ketegangan besar antara seteru di rantau berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan Malaysia tidak terjerumus ke dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi tempatan.

Katanya, paling dibimbangkan adalah kesan konflik antara Iran dan Israel berkenaan, akan menyebabkan pasaran domestik terjejas sehingga harga barangan melambung, sekali gus menyukarkan rakyat.

"Umum mengetahui Malaysia antara yang bersimpati dengan Palestin dan kita mempunyai hubungan diplomatik bersama Iran yang menjadi antara rakan perdagangan sejak sekian lama.

"Dalam hal ini, kerajaan bersama negara ASEAN lain boleh mengisytiharkan bahawa rantau ini sebagai kawasan bebas peperangan dan Malaysia mengambil langkah berkecuali dalam isu berkenaan.

"Cuma yang penting rakyat tidak perlu panik dan maklumat mengenai serangan yang berlaku di Israel perlu diperolehi melalui saluran yang betul," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan rakyat Malaysia tidak perlu terbabit dalam peperangan yang berlaku di wilayah berkenaan bagi mengelak persepsi buruk ke atas negara ini.

Berita Harian X