Ahad, 14 April 2024 | 11:41am
Penjawat awam melafazkan ikrar integriti. - Foto hiasan
Penjawat awam melafazkan ikrar integriti. - Foto hiasan

Rombak prosedur lapuk banteras rasuah di agensi awam

RASUAH dan agensi kerajaan seperti sukar dipisahkan terutama jabatan 'panas'. Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 34 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion dalam Ops Samba 2.0 sejak 11 Mac lalu. Bagaimanakah kerajaan patut bertindak untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa dalam agensinya?

Ikuti Soal Jawab bersama Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir yang juga pemerhati jenayah rasuah.


Soalan (S): Bagaimana hendak menghapuskan gejala rasuah membabitkan agensi kerajaan?

Jawapan (J): Rasuah berlaku di mana saja, bukan hanya pada peringkat jabatan kerajaan. Namun perkara perlu diperkuatkan dalam memerangi jenayah ini adalah pencegahan. Pelbagai tindakan boleh dilaksanakan, namun perkara utama adalah mencegah dan bagaimana pencegahan boleh dilakukan.

Dalam konteks rasuah di agensi kerajaan, pencegahan boleh dilakukan dengan membaiki sistem sedia ada. Sekiranya melihat atau mengesan sistem korup atau tidak lagi membantu dalam mengekang tatakelola tidak baik, perbaiki segera serta tidak membiarkan atau hanya tunggu dan lihat. Dalam usaha menangani melalui langkah pencegahan, mereka harus mengakui terlebih dahulu berlaku rasuah. Lihat sistem bermasalah dan loopholes (kelompangan) yang ada untuk diperbetulkan.

S: Apakah contoh sistem atau 'loopholes' yang bermasalah dalam agensi kerajaan?

J: Perkara ini berpotensi berlaku di mana sahaja, tetapi dalam aspek membabitkan penjawat awam, mereka harus sentiasa diingatkan supaya mencegah rasuah jadi budaya kerja. Jika berlaku sistem memberi peluang dan ruang ke arah rasuah, perbetulkan dengan segera dan pada masa sama langkah kesedaran perlu sentiasa dipertingkatkan. Ini supaya setiap kakitangan awam sentiasa sedar risiko akan dihadapi mereka.

Jangan hanya adakan satu ceramah kesedaran menolak rasuah setiap tahun dan anggap itu sudah mencukupi. Dalam pengajian agama sendiri, ceramah agama berlangsung setiap masa supaya memberi ingatan kepada kita menjadi umat Islam yang baik. Inilah yang sepatutnya berlaku dalam budaya kerja penjawat awam atau di mana sahaja pada hari ini.

S: Apakah bentuk program pencegahan rasuah terbaik untuk kakitangan awam?

J: Tengok pada kelemahan yang ada. Jika sistem pada agensi itu lemah dan menyumbang ke arah rasuah, perbaiki di situ. Ketika saya masih berkhidmat dalam SPRM, antara program kami kenal pasti sangat membantu agensi awam adalah program 'Pengurusan Risiko Rasuah' (CRM).

Ia satu program pengurusan mengenal pasti korupsi di setiap jabatan dan agensi. Secara ringkas, semua wakil bahagian mengenal pasti elemen membuka kepada rasuah dan mencari penyelesaian menanganinya. Risiko rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dikenal pasti, seterusnya menyediakan pelan pengurusan risiko sistematik sehingga mewujudkan tadbir urus terbaik yang boleh menutup ruang serta peluang itu.

S: Adakah bermaksud jabatan dan agensi kerajaan hari ini perlu menyemak tatacara dan prosedur mereka dengan lebih kerap?

J: Ya! Semakan prosedur atau sistem ini tidak sepatutnya dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja, sebaliknya dilaksanakan lebih kerap kerana ruang dan peluang rasuah boleh bergerak secara dinamik untuk menyesuaikan dengan keadaan. Sistem sedia ada mungkin sudah lama atau lapuk.

Di sinilah program seperti CRM memainkan peranan kerana boleh melihat keseluruhan sistem sedia ada, mungkin ada tidak boleh dipakai. Contohnya, kita gunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sepenuhnya dalam penguatkuasaan supaya sistem 'berdepan secara bersemuka' mampu dikurangkan, sekali gus mengurangkan peluang dan ruang rasuah.

S: Terbaharu, negara dikejutkan dengan isu rasuah membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Apakah punca utama ini?

J: Seperti saya katakan, rasuah tidak terjadi di jabatan panas sahaja, tetapi juga di tempat perlu berurusan dengan orang ramai. Mereka boleh mengambil tindakan dan kesalahan mengikut undang-undang, seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), pegawai trafik, imigresen dan sebagainya. Kuasa serta ruang yang ada membolehkan anggota terbabit meminta wang.

Jika ada sifat tamak dan mengejar kemewahan, gaji sebesar mana pun tidak cukup. Mereka mahu mengejar cara hidup mewah, pakai jam mahal, maka yang menampung semua itu adalah rasuah. Faktor dalaman isu rasuah di jabatan panas ini berbilang dan tidak semuanya sama.

S: Sejak sekian lama, kerajaan mengatur langkah untuk memastikan Malaysia bebas rasuah, termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), menubuhkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan terbaharu amalan tatakelola baik oleh Perdana Menteri menjadi aspirasi Kerajaan MADANI, tetapi rasuah masih tidak berkesudahan.

J: Berkaitan ini, saya ingin menyebut mengenai langkah menangani isu audit yang ternyata berulang setiap tahun tanpa berkesudahan. Semasa saya di SPRM, kami pernah cadangkan wujud peruntukan baharu, iaitu Salah Laku di Pejabat Kerajaan (MIPO) bagi menangani ketirisan dana dalam perolehan awam di Malaysia dilakukan penjawat awam.

Penjawat awam yang membuat keputusan merugikan kerajaan seperti membeli barang salah atau tidak munasabah sehingga projek terbengkalai lalu menjadi projek 'gajah putih' boleh dihukum menerusi MIPO. Tindakan mengikut MIPO boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja, hatta menteri sekali pun kerana kita lihat peruntukan ini sangat berkesan dalam menangani isu audit di Brunei dan Hong Kong.

Dalam isu audit ini, ia tidak boleh diletakkan di bahu SPRM semata-mata kerana ketirisan itu sudah berlaku dan apabila SPRM 'masuk' isu dibangkitkan itu kononnya sudah diselesaikan. Ini boleh menimbulkan kesangsian dan susah untuk didakwa di mahkamah. Disebabkan itu kita mencadangkan MIPO ketika saya masih berkhidmat, tetapi saya tidak tahu di mana peruntukan ini sekarang. Sekiranya ada ia membabitkan satu pindaan di bawah Akta SPRM.

S: Sejauh mana impak program membasmi rasuah SPRM kerana dilihat tidak begitu berkesan membudayakan tolak rasuah dalam masyarakat hari ini?

J: Untuk SPRM menangani semua isu rasuah, pasti tidak mampu khususnya dalam program pencegahan dan pendidikan. Ketika Badan Pencegahan Rasuah (BPR) mahu ditransformasi menjadi SPRM pada 2009, kita meminta 5,000 anggota dan pegawai, tetapi selepas lebih 15 tahun, tenaga kerja SPRM hanya 3,000 anggota.

Ketika mahu mewujudkan SPRM, analisis ketika itu adalah keperluan 5,000 keanggotaan berdasarkan perkapita penduduk negara. Jadi tidak mencukupi untuk SPRM melaksanakan semua perkara berkaitan rasuah. Disebabkan itulah penting untuk kerajaan melihat kepada keanggotaan pegawai SPRM, sama seperti hasrat ketika transformasi dari BPR dahulu.

Ia dipersetujui ketika itu tetapi pelaksanaan sehingga ke hari ini masih belum terjadi. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) perlu melihat ini secara serius ketika kita mahu bergerak ke arah negara bebas rasuah.

Program pencegahan perlu jadi KPI setiap jabatan

S: Bagaimana Datuk Seri melihat kebersamaan semua peringkat dalam menangani isu rasuah?

J: Apa yang saya lihat adalah tiada kebersamaaan semua pihak. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 25 terbaik skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI), maka semua pihak harus memainkan peranan.

Jika mahu (CPI) ini berhasil, semua kena menangani isu rasuah bersama. Setiap kementerian harus berperanan lebih untuk memastikan wujudnya budaya tolak rasuah. Tidak harus bergantung sepenuhnya terhadap SPRM semata-mata melalui penganjuran pelbagai program kesedaran serta langkah berkesan untuk menutup ruang dan peluang rasuah.

Masyarakat pula harus berani membanteras rasuah dan bukan sekadar 'bising' di media sosial sahaja. Tanamkan hasrat untuk memastikan kita lenyapkan rasuah, sama ada pada peringkat kanak-kanak atau warga emas.

S: Kita lihat pelbagai program baharu dan lama dihidupkan dalam jabatan kerajaan, tetapi program berunsur rasuah seperti 'hidup segan, mati tak mahu'. Adakah program pencegahan rasuah ini membabitkan kos tinggi?

J: Dana tidak perlu tinggi, tetapi peruntukan kena ada kerana perlu memanggil mereka yang pakar dalam isu ini, namun bagi jabatan kerajaan, mereka mempunyai peruntukan bagi melaksanakan program rasuah. Isunya, di mana kita mahu intregriti itu berada? Jika tidak diberikan tumpuan, adakah kita mahu sesal kemudian hari.

Jangan pinggirkan program pencegahan rasuah ini kerana Perdana Menteri sendiri beriltizam mahu melenyapkan rasuah, selain membaiki skor CPI negara. Seharusnya ia menjadi KPI setiap jabatan kerajaan dan melakukan program mencegah rasuah serta menyemak semula sistem yang boleh membuka peluang dan ruang rasuah.

Jangan hanya statik dan berasakan kita sudah terbaik. Jika sistem itu perlu disemak setiap tahun sekali, pendekkan tempoh kepada tiga tahun untuk menambah baik kelemahan yang ada.

S: Jabatan kerajaan mempunyai unit integriti sendiri, tetapi rasuah masih berlaku. Apakah unit ini sebenarnya kurang berkesan dalam menangani rasuah?

J: Seingat saya, dalam unit integriti jabatan atau agensi kerajaan tidak pernah cukup perjawatannya. Hanya ada empat atau lima orang, maka bagaimana mereka mahu bertindak secara berkesan di seluruh negara? Mereka perlu melaksanakan enam terma rujukan, iaitu tadbir urus baik, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan salah laku jenayah, pengurusan aduan, pematuhan dan tatatertib.

Ini perlu dilaksanakan di seluruh negara, tetapi perjawatannya sedikit sahaja. Maka, penting untuk setiap ketua jabatan bekerjasama membersihkan amalan yang tidak baik, bersama unit integriti dan pegawai SPRM.

S: Cadangan penambah baik berkesan khususnya di agensi atau jabatan 'panas'?

J: Pelbagai cadangan boleh dijayakan, tetapi agensi dan jabatan panas ini perlu menerima hakikat terlebih dahulu bahawa gejala rasuah berlaku di sekitar mereka. Mereka perlu akui dan mengambil tindakan sewajarnya, manakala ketua jabatan perlu serius menangani dan melakukan tindakan pencegahan. Lihat semula sistem yang ada kerana ada perkara dan persekitaran perlukan perubahan.


Hentikan amalan 'sorok selagi boleh'

Soalan (S): Bagaimana Prof melihat gejala rasuah tidak berkesudahan dalam kalangan penjawat awam hari ini?

Jawapan (J): Ia bukan perkara baharu dan realitinya ia sudah banyak terjadi seperti satu open secret dalam masyarakat kita hari ini. Masyarakat sentiasa tahu berlaku rasuah dalam jabatan panas ini dan situasinya sangat serius.

Dalam konteks agensi atau jabatan panas ini, mereka yang bertanggungjawab biasanya berada pada kedudukan tinggi atau di atas. Mereka inilah yang banyak mengambil rasuah. Yang di atas mendapat portion daripada sindiket dilindungi, termasuk pengkhianat negara.

Pada peringkat bawahan tidak boleh memberitahu kerana takut dan bimbang dengan masa depan mereka. Yang di atas akan dibela oleh mereka yang mempunyai kaitan.

Ini menunjukkan rasuah dalam kalangan peringkat atasan sebenarnya lagi teruk berbanding di bawah, yang hanya mendapat 'portion' kecil. Mereka ini mengambil rasuah kerana yang di atas juga lebih teruk.

S: Usaha membanteras rasuah dilihat diletakkan pada bahu SPRM sahaja, selain ada jabatan amalkan 'sorok selagi boleh'. Apa pandangan Prof?

J: Sangat tepat situasi 'sorok selagi boleh' berlaku dan ia berpunca kerana peringkat atasan mengamalkan rasuah, sama ada 'sakau' secara terang-terangan atau sembunyi.

Apabila ini berlaku, memang sukar SPRM melaksanakan kerja mereka kerana tidak terdaya melakukan operasi demi operasi memandangkan situasi rasuah hari ini sudah menjadi budaya.

S: Pandangan Prof usaha dilakukan agensi panas dalam membanteras gejala rasuah ini?

J: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri boleh memainkan tindakan lebih aktif memerangi jenayah rasuah ini, namun ia tidak akan mencukupi selagi mereka yang berkuasa di atas memainkan peranan penting dalam agenda rasuah.

Usaha itu hanya akan jadi 'gitu-gitu' sahaja atau hanya pada slogan, namun hakikat sebenarnya tidak sedemikian.

S: Boleh Prof senaraikan beberapa cadangan boleh dilakukan kerajaan membanteras rasuah tidak berkesudahan dalam kalangan penjawat awam?

J: Sebenarnya sukar untuk kita beri cadangan kerana salah laku rasuah ini bermula dengan keimanan seorang individu. Mereka mengamalkan rasuah akan lakukan apa sahaja untuk memperoleh keuntungan.

Mereka tidak takut agama, malah ada yang bertopeng agama. Namun apa yang saya boleh cadangkan adalah supaya kerajaan menetapkan satu semakan atau pemantauan tegas terhadap penjawat awam yang diambil berkhidmat. Semak sepenuhnya rekod mereka sebelum masuk kerja.

Kedua, selain program kesedaran, penjawat awam perlu didedahkan dengan unsur keagamaan contohnya 'balasan neraka' bagi mereka yang melakukan rasuah atau mengambil hak orang lain. Ini bukan sekadar menakutkan mereka tapi kesedaran untuk tidak berniat atau melakukan perbuatan itu,

Selain itu, laksanakan langkah semakan harta secara mengejut dan bukan lima tahun sekali. Lakukan secara tiba-tiba supaya jabatan mengetahui harta dimiliki mereka.

Berita Harian X