Sabtu, 13 April 2024 | 5:08pm
Arah (bertudung merah) bersama suami, Rosmani Mohd Diah diraikan dengan peluang membeli belah di Pasaraya Econsave Kulai oleh Pengurusnya, B Gopinathan sambil diiringi Muhammad Ismail.
Arah (bertudung merah) bersama suami, Rosmani Mohd Diah diraikan dengan peluang membeli belah di Pasaraya Econsave Kulai oleh Pengurusnya, B Gopinathan sambil diiringi Muhammad Ismail.

'Saya terharu, ada yang sudi bantu kami'

Kulai: "Saya terharu kerana ada juga orang yang sudi bantu, tanpa bantuan kami tidak mampu membeli barang-barang ini," kata warga emas, Arah Aziz.

Arah, 71, berkata dia dan suami, Rosmani Mohd Diah, 54, sebelum ini dia terpaksa menangguh hasrat membeli pelbagai barangan kelengkapan rumah termasuk barangan elektrik atas faktor kewangan keluarga.

Menurutnya, malah dengan pendapatan suaminya sebagai pengawal keselamatan, mereka juga sentiasa berjimat-cermat termasuk dalam soal pemakanan.

Katanya, namun dia mahupun pasangan tidak pernah mengeluh dengan keadaan serba kekurangan yang ditempuh termasuk kediaman dalam keadaan uzur.

"Sebab itu saya dan suami berbincang sebelum membeli barang dan pada hari berkenaan, bajet kami hanya RM80 namun pembelian kami mencecah RM80 dan 80 sen hingga kami terkial-kial ketika di kaunter pembayaran.

"Namun semuanya ada hikmah kerana ada yang memerhati kami dan tampil membantu ketika kami membuat pembayaran.

"Saya memanjatkan kesyukuran atas Ilahi dan hanya Allah mampu membalas jasa baik insan yang membantu kami," katanya ketika menerima baucer membeli-belah di Pasaraya Econsave Cash and Carry di Kulai di sini yang disampaikan pengurus cawangan, B Gobinathan di sini hari ini.

Sementara itu, Rosmani berkata, dia berterima kasih atas keprihatinan ditunjukkan Naib Kadi Daerah Kulai, Muhammad Ismail Sajiman, yang tampl membantu serta tular kisahnya sehingga turut menarik perhatian Pasaraya Econsave.

Menurutnya, ia secara tidak langsung dapat meringankan beban keluarganya yang turut menyara seorang ahli keluarga orang kurang upaya mental (anak lelaki Arah) yang berusia 40-an.

"Sehingga kini saya masih tidak mampu menunaikan beberapa permintaan isteri termasuk bagi membaik pulih keadaan rumah yang uzur, namun dia tidak pernah mengeluh kerana faham keadaan saya.

"Rumah itu adalah milik isteri hasil peninggalan anak lelaki tiri saya yang sudah meninggal dunia.

"Sehingga kini kami tidak pernah memohon bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya yang tinggal di 846, Jalan Manis 35/2, Taman Manis, Kulai di sini.

Pada 12 April lalu, media memaparkan perkongsian Ismail berkaitan kisah di sebalik pertemuannya dengan suami isteri yang mengundang sebak hingga dia tergerak hati membantu mereka tempoh hari.

Kisah itu dikongsikan Ismail menerusi video dimuat naik di akaun TikTok miliknya, kelmarin dan kini meraih 2.4 juta tontonan dengan rata-rata netizen turut sebak selepas menontonnya.

Ismail merakam video itu secara spontan ketika dia berada dalam sebuah pasar raya di sini pada Isnin lalu.

Dia menyatakan tersentuh dengan kekurangan pasangan itu yang hanya memiliki RM80 dan perlu tambah 80 sen bagi pembelian barangan.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada pasangan itu menerusi akaun Maybank Rosmani bernombor 151101253244.

Berita Harian X