Sabtu, 13 April 2024 | 4:07pm
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin. - NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin. - NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI

'Mohon maaf, bekalan air tak dapat disalurkan kepada semua' - Kerajaan Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memohon maaf kerana tidak mampu menyediakan bekalan air tambahan ke semua tempat di negeri itu susulan penggunaan yang meningkat sempena Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata sebanyak 396 tangki air statik disediakan manakala 39 lori tangki air digerakkan bagi menampung keperluan isi rumah ketika ini.

Katanya, persediaan dibuat seminggu sebelum Aidilfitri berikutan penggunaan tinggi sebelum dan sepanjang musim perayaan.

Katanya, bekalan air tidak mencukupi atas faktor cuaca panas dan ditambah dengan kepulangan perantau bagi menyambut Aidilfitri.

"Bagi mengatasi masalah ini, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menghantar lori tangki ke lokasi yang tidak mempunyai bekalan air, selain memantau kawasan yang mengalami masalah sama.

"Bagaimanapun, kita akui bekalan tidak dapat disalurkan kepada semua dan saya mohon maaf. Kita sudah melakukan pelbagai cara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Aidilfitri PAS Kawasan Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.

Dr Izani berkata, pelbagai cara diambil ke arah penambahbaikan bagi mengatasi masalah air di Kelantan.

"Baru-baru ini kita melancarkan pembinaan loji baharu di Gua Musang dan untuk siap ia memerlukan masa.

"Apabila bekalan air tidak cukup, kita bina loji bagi mengatasinya, cuma mengambil masa disiapkan kerana membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

"Sekarang ada 42 loji dan beberapa loji dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada 2027 dan boleh beroperasi pada 2028," katanya.

Penduduk Saufi Ariffin, mengagihkan air ke dalam bekas simpanan untuk kegunaan keluarganya berikutan gangguan bekalan air ketika ditemui Bernama di Kampung Chengal Pulas. - Foto BERNAMA
Penduduk Saufi Ariffin, mengagihkan air ke dalam bekas simpanan untuk kegunaan keluarganya berikutan gangguan bekalan air ketika ditemui Bernama di Kampung Chengal Pulas. - Foto BERNAMA

Bagaimanapun, pihaknya berdepan masalah tapak takungan air di Merbau Chondong kerana lokasi yang terlalu rendah menyebabkan kapasiti air berkurang.

Beliau menasihatkan penduduk berjimat cermat dan berhemah menggunakan air terutama dalam cuaca panas ketika ini yang menyebabkan bekalan air menyusut.

Berita Harian X