Sabtu, 13 April 2024 | 1:56pm
Laporan dalam BH Online semalam.
Laporan dalam BH Online semalam.

TERKINI: Mangsa amukan gajah patah 10 tulang rusuk, paru-paru bocor

GERIK: "Kesesakan kenderaan dan tiada kemudahan tandas di sepanjang jalan, menyebabkan bapa saudara yang mengalami cirit-birit ketika itu terpaksa berhenti untuk buang air besar di kawasan berdekatan sebelum dia diserang gajah," kata Shaheeza Mohd Sakmi.

Shaheeza, 49, adalah anak saudara kepada Ahmad Nazri Osman, 55, iaitu mangsa yang cedera parah akibat diserang dan dipijak gajah liar dalam kejadian dekat Batu 11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tugu Peringatan laluan itu pada Khamis lalu.

Beliau berkata, susulan serangan gajah terbabit, bapa saudaranya ketika ini terpaksa ditidurkan dalam wad unit rawatan rapi (ICU) susulan mengalami patah sebanyak 10 tulang rusuk hingga menyebabkan sedikit kebocoran pada paru-paru, selain patah kaki kanan.

"Sebelum kejadian, bapa saudara bersama keluarga dan beberapa sepupu lain bersiar-siar di sekitar Pulau Banding, Gerik dengan menaiki dua kereta. Ketika kejadian berlaku, mereka dalam perjalanan pulang ke Felda Bersia, Gerik, sekitar jam 6.30 petang.

"Akibat tiada kemudahan tandas di sepanjang jalan ditambah dengan kesesakan jalan raya sempena Aidilfitri serta cirit-birit yang dialami secara tiba-tiba, membuatkan mereka berhenti di lokasi kejadian.

"Di media sosial, ramai yang persoalkan kenapa bapa saudara berhenti buang air di kawasan sebegitu. Hakikatnya situasi sebelum kejadian itu dengan kesesakan kenderaan dan tiada kemudahan tandas di sepanjang jalan itu, memaksa bapa saudara berhenti di situ sebelum 'turun' mencari kawasan berdekatan anak sungai untuk 'melepaskan hajat'.

"Keadaan pada masa itu membuatkan mereka mereka terdesak untuk berhenti di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bercerita lanjut, Shaeeza berkata, beliau difahamkan oleh saudara-maranya yang turut serta konvoi itu, ibu saudaranya yang juga isteri mangsa turut berada di tempat kejadian, bahkan sempat 'turun' bersama mangsa mencari kawasan anak sungai di kawasan itu.

"Sebaik terlihat gajah di situ, ibu saudara bergegas naik ke atas dan masuk ke dalam kereta untuk menyorok. Ketika itu ada dua gajah di kawasan terbabit yang pada mulanya tidak disedari kerana berada dalam semak.

"Tidak berapa lama selepas itu gajah berkenaan dikatakan 'naik' ke atas jalan raya dalam keadaan seolah-olah mengamuk hingga memaksa dua kenderaan dinaiki keluarga kami berhampiran lokasi itu terpaksa mengundur.

"Selepas kira-kira 10 minit, gajah berkenaan beredar. Apabila situasi dilihat selamat, barulah sepupu-sepupu saya yang berada kereta di lokasi 'turun' ke bawah bagi mencari bapa saudara sebelum dia ditemukan dalam keadaan tertiarap, namun masih sedar ketika itu.

"Ketika ditemui, bapa saudara sempat memberitahu bagaimana gajah menyerangnya termasuk memijak kakinya. Isterinya bagaimanapun sehingga kini masih dalam keadaan trauma dan terkejut dengan kejadian itu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengesahkan kejadian seorang lelaki parah akibat dipijak gajah di Batu 11, berdekatan Tugu Peringatan, JRTB Gerik-Jeli, di sini, Khamis lalu dengan kejadian dikatakan berlaku sewaktu mangsa membuang air besar di anak sungai berhampiran.

Berita Harian X