Sabtu, 13 April 2024 | 1:16pm
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

'Belum hantar notis ke Speaker, biar mereka beraya dulu' - Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR: BERSATU belum menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berhubung keahlian enam Ahli Parlimen parti itu yang didakwa tergugur secara automatik.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata sebaliknya enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu diberikan peluang menyambut Aidilfitri dulu.

"Setakat ini belum (hantar notis ke Speaker)...seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU), biar mereka sambut raya dahulu," katanya kepada BH, di sini.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Ketika ditanya sama ada notis itu akan diberikan sebelum berlangsungnya sidang Dewan Rakyat pada Jun ini, Ronald bagaimanapun tidak mempunyai perincian mengenai perkara terbabit.

Sebelum ini, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, dilaporkan berkata, keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN parti itu yang berpaling tadah kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Razali dilaporkan berkata, mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.

Pada 2 Mac lalu, BERSATU meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Awal bulan ini, ROS dilaporkan turut meluluskan usul pindaan Perlembagaan BERSATU yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu.

Berita Harian X