Sabtu, 13 April 2024 | 11:37am

RM50 juta diagihkan kepada usahawan wanita India mulai Isnin ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan RM50 juta sebagai dana kepada Sahabat Usahawan Wanita India bagi memperkasakan golongan berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, berkata peruntukkan itu dijangka memberi manfaat kepada 7,100 penerima Sahabat Usahawan India baharu dan 3,100 Sahabat Usahawan India sedia ada.

"la menjadikan jumlah keseluruhan yang mendapat manfaat melalui peruntukan dana khas ini ialah seramai 10,200 orang.

"Peruntukan berkenaan boleh dipohon sehingga RM30,000 dibuka bermula 15 April ini menerusi 124 Cawangan AIM di seluruh negara.

"Syarat utama mereka yang layak, mestilah warga Malaysia, berbangsa India dan wanita sahaja," katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Dana Khas Untuk Sahabat Usahawan Wanita India AIM, di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan AIM, Mohamed Syamira Abdul Aziz dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Mohd Najib Mohd Noor.

Ramanan berkata, peruntukan berkenaan akan disalurkan melalui Program Khas iaitu PENN (Prosperity, Empowerment and A New Normal).

"Pendekatan berkenaan adalah satu lagi usaha untuk memperkasakan usahawan wanita India di negara ini menuju ke satu tahap yang lebih baik lagi.

"Usaha pemerkasaan berkenaan merupakan satu lagi proses nilai tambah untuk memajukan diri mereka," katanya.

Beliau menambah, dengan peruntukan baharu itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk Sahabat Usahawan berbangsa India adalah sebanyak RM71.4 juta, di mana RM21 juta sudah disalurkan sejak Januari lalu.

"Pengumuman ini secara tidak langsung merupakan berita gembira buat Sahabat Usahawan berbangsa India yang akan meraikan sambutan Tahun Baharu Tamil esok (14 April 2024).

"Sehingga hari ini AlM mencatatkan jumah Sahabat berbangsa India seramai 3,100 dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM330.20 juta," katanya.

Katanya, untuk rekod, AIM yang ditubuhkan sejak 37 tahun yang lalu, telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM33.02 bilion kepada 968,321 peminjam.

"la sekali gus mengeluarkan seramai 3.87 juta isi rumah dari kepompong kemiskinan.

"Untuk tahun ini, sebanyak RM2.61 bilion diperuntukkan untuk pembiayaan dengan jumlah Sahabat Usahawan seramai 317,339 orang," katanya.

Ramanan diiringi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Syed Hussian Aljunid, bergambar bersama para penerima pada pelancaran dana khas pemerkasaan wanita india (PENN) di Menara Amanah Ikhtiar Malaysia. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Ramanan diiringi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Syed Hussian Aljunid, bergambar bersama para penerima pada pelancaran dana khas pemerkasaan wanita india (PENN) di Menara Amanah Ikhtiar Malaysia. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Berita Harian X