Jumaat, 12 April 2024 | 11:05pm
Tempat simpanan logistik sisa bahan kimia berjadual dekat syarikat pengurusan sisa di Bukit Pelanduk, Port Dickson, musnah dalam kebakaran, petang tadi. - Foto ihsan pembaca
Tempat simpanan logistik sisa bahan kimia berjadual dekat syarikat pengurusan sisa di Bukit Pelanduk, Port Dickson, musnah dalam kebakaran, petang tadi. - Foto ihsan pembaca

Simpanan bahan kimia berjadual musnah dalam kebakaran di PD

SEREMBAN: Tempat simpanan logistik sisa bahan kimia berjadual berdekatan syarikat pengurusan sisa di Bukit Pelanduk, Port Dickson (PD), musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata pihaknya menerima panggilan jam 5.58 petang sebelum jentera pertama tiba 18 minit kemudian.

Katanya, anggota pegawai pelbagai pangkat dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini terpaksa digegaskan ke lokasi bagi menangani kebakaran kira-kira jam 5.50 petang itu.

Asap tebal akibat kebakaran simpanan bahan kimia berjadual di Bukit Pelanduk, Port Dickson dapat dilihat dari jauh. - Foto ihsan pembaca
Asap tebal akibat kebakaran simpanan bahan kimia berjadual di Bukit Pelanduk, Port Dickson dapat dilihat dari jauh. - Foto ihsan pembaca

"Seramai 66 pegawai bomba pelbagai pangkat dari BBP Port Dickson, Seremban 2, Seremban dan Rantau ke lokasi bagi operasi memadam kebakaran.

"Maklumat diterima mendapati kebakaran membabitkan tempat logistik (Side A) simpanan sisa bahan kimia berjadual berkeluasan kira-kira 900 meter persegi yang musnah sepenuhnya.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam kejadian itu. Api berjaya dikawal jam 8.18 malam. Sehingga jam 9 malam tadi proses pemadaman masih dijalankan," katanya.

Berikutan kejadian itu, orang ramai tidak dibenarkan mendekati kawasan berkenaan.

Sementara itu, asap tebal dapat dilihat sehingga beberapa kilometer dari sekitar Sendayan.

Berita Harian X