Jumaat, 12 April 2024 | 3:48pm
Foto NSTP
Foto NSTP

Pengeluaran padi tahan air masin wajar dilaksanakan - PeSAWAH

KUALA LUMPUR: Usaha Malaysia untuk mengeluarkan varieti padi toleran atau tahan air masin wajar dilaksanakan pada masa hadapan selain mempertingkat dan mempelbagaikan usaha untuk menyelesaikan isu berbangkit dalam industri padi negara.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Abdul Rashid Yob, berkata usaha atau alternatif berkenaan adalah satu perkara positif dan idea bernas bagi industri padi negara untuk meningkatkan hasil beras domestik.

"Usaha berkenaan juga perlu disusuli perhatian daripada pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah dan dilema yang dihadapi pesawah.

"Disamping melaksanakan usaha mengeluarkan varieti padi tahan air masin berkenaan, kerajaan juga perlu menyelesaikan dan memberi perhatian serius terhadap masalah manipulasi harga sama ada harga benih, harga beras serta penguatkuasaan dalam industri padi negara," katanya kepada BH, hari ini.

Hari ini BH melaporkan, Malaysia bakal mengeluarkan varieti padi toleran atau tahan air masin, antara usaha digerakkan kerajaan bagi meningkatkan hasil beras domestik, sekali gus memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.

Inisiatif berkenaan dijalin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan saintis dari China dengan sasaran benih padi toleran air masin dapat dikomersialkan pada tahun depan.

Usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu diterajui pasukan penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, isu berbangkit seperti baik pulih infrastruktur dan kualiti dalam industri padi juga perlu diambil perhatian kerajaan ketika ini dan harus seiring dengan usaha yang akan dilaksanakan terbabit.

"Adalah menjadi satu keutamaan kerajaan untuk memberi perhatian terlebih dahulu terhadap isu-isu yang berlaku dalam industri padi negara.

"Kerajaan juga perlu melihat punca utama terlebih dahulu masalah-masalah utama yang dihadapi oleh golongan pesawah serta meneliti terlebih dahulu bagaimana untuk melaksanakan kaedah padi tahan air masin dan perancangan pada masa hadapan," katanya.

Abdul Rashid berkata, kerajaan juga disarankan untuk meneliti semula industri pagi bermula daripada benih padi sehingga ke tahap penjualan beras yang ketika ini masih belum selesai.

"Sudah memasuki empat musim dan petani khususnya di Kedah telah mengalami penyusutan hasil menyebabkan pendapatan mereka semakin berkurangan.

"Isu perubahan cuaca juga memainkan peranan dalam isu-isu yang berlaku dalam industri padi dan itu perlu diambil perhatian utama oleh kerajaan," katanya.

Berita Harian X