Jumaat, 12 April 2024 | 3:01pm
Aesah menunjukkan tiada bekalan air bersih sejak seminggu lalu di FELDA Perasu. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya
Aesah menunjukkan tiada bekalan air bersih sejak seminggu lalu di FELDA Perasu. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya

Sambutan Aidilfitri suram, penduduk FELDA Perasu terputus bekalan air

GUA MUSANG: Sambutan Aidilfitri penduduk di FELDA Perasu di sini, agak suram apabila terputus bekalan air bersih sejak Ahad lalu.

Penduduk mendakwa, masalah itu berlaku kepada penduduk yang tinggal di kawasan tinggi di FELDA berkenaan.

Penduduk, Mohd Rosmizi Rosli, 43, berkata disebabkan masalah bekalan air bersih yang terputus dia terpaksa mengambil air sungai untuk kegunaan harian sejak Ahad lalu.

Katanya, masalah bekalan air bersih yang terputus turut memberi kesan kepada perniagaannya yang menjual ayam proses di penempatan itu.

"Sejak hampir seminggu lalu, saya terpaksa mengambil air sungai untuk kegunaan harian dan membersihkan ayam proses yang dijual.

"Keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan ayam proses yang saya usahakan di hadapan rumah. Aduan sudah di buat sejak empat hari lalu kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sehingga kini masih menanti maklum balas mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi Aesah Abd Kadir, 65, oleh kerana terputus bekalan air anaknya yang pulang berhari raya di kampung terpaksa memendekkan cuti dan pulang awal ke ibu kota.

Katanya, dia berasa kecewa apabila masalah itu sudah berlarutan hampir seminggu sehingga menyebabkan sambutan Aidilfitri yang disambut agak suram kerana tidak dapat memasak dan membasuh pinggan dengan selesa.

"Makanan yang dimasak pada pagi raya pun hanya ala kadar kerana masalah tiada bekalan air bersih untuk mencuci bahan memasak selain membasuh pinggan mangkuk yang sudah digunakan.

"Malah, anak terpaksa pulang awal ke tempat masing-masing kerana tiada air di rumah dan perlu mengambil air dari sungai untuk kegunaan anak-anak mereka.

"Sebelum mereka pulang pun sempat juga mengambil air untuk kegunaan saya di sini," katanya.

Aesah berharap masalah air itu dapat diselesaikan secepat mungkin kerana sudah tidak sanggup mengambil air dan memberi kesan kepada aktiviti seharian penduduk di situ.

Berita Harian X