Jumaat, 12 April 2024 | 12:11pm
Kemalangan membabitkan MPV dan lori di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan. - Foto ihsan IPD Kampar
Kemalangan membabitkan MPV dan lori di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan. - Foto ihsan IPD Kampar

Op Selamat: 16 kematian pada hari keempat

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian akibat kemalangan maut mencatatkan penurunan dengan 16 kematian dicatatkan di seluruh negara pada hari keempat penguatkuasaan Op Selamat Ke-22 sempena sambutan Aidilfitri, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, berkata jumlah itu lebih rendah berbanding 35 kematian direkodkan kelmarin.

Beliau berkata, jumlah kemalangan jalan raya yang direkodkan semalam juga menurun satu angka kepada 1,288 kes, berbanding 1,289 kes kelmarin.

"Jumlah 35 kematian pada 1 Syawal berlaku mungkin atas pelbagai faktor, termasuk keghairahan orang keluar beraya menyebabkan jalan sesak sehingga berlaku kemalangan.

"Untuk semalam, jumlah kematian direkodkan jauh lebih rendah berbanding kelmarin, mungkin kerana ramai yang tidak keluar berhari raya dan berehat sebelum mereka pulang ke kota," katanya kepada BH hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya menjangkakan trafik akan kembali sesak pada esok apabila orang ramai akan mula pulang ke kediaman masing-masing.

"Esok saya akan ke Gua Musang untuk meninjau keadaan aliran trafik di sana berikutan daerah itu dijangka akan mengalami kesesakan teruk.

"Selain itu, aliran trafik di Kuala Selangor dijangka akan mengalami kesesakan bagi mereka yang menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kerana di Kuala Selangor terdapat 15 lampu isyarat.

"Bagaimanapun, JSPT sudah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu melancarkan aliran trafik kerana kawasan itu hanya dua lorong sedangkan ribuan kenderaan yang akan menggunakan laluan di situ," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan.

Op Selamat Ke-22 dengan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi' dikuatkuasakan bermula 8 April lalu hingga 13 April ini di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri.

Berita Harian X