Jumaat, 12 April 2024 | 11:00am
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Tujuh wakil rakyat BERSATU yang berpaling tadah perlu kosongkan kerusi - Razali

KUALA TERENGGANU: Keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang berpaling tadah kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.

Katanya, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN itu tidak perlu menunggu notis pemecatan, sebaliknya kelulusan pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu, 2 Mac lalu, sudah memadai.

"Parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan Perlembagaan parti seperti diluluskan ROS.

"Enam Ahli Parlimen dan ADUN digesa tidak menunggu surat daripada BERSATU, sebaliknya jika anak jantan (gentleman), lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi," katanya.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris.

Razali yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) BERSATU mengulas mengenai enam Ahli Parlimen yang bertanding mewakili BERSATU pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu mengesahkan belum menerima apa-apa notis daripada parti itu susulan sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan berkata, pihaknya masih belum menerima apa-apa notis daripada BERSATU, selepas ROS meluluskan pindaan perlembagaan.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz, lima lagi Ahli Parlimen yang mengisytiharkan penyokong Anwar adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari bulan lalu, turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU berkata, mereka wajar umumkan kekosongan kerusi bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

"Jangan jadikan alasan menunggu notis daripada BERSATU untuk membuat keputusan," katanya.

Berita Harian X