Jumaat, 12 April 2024 | 10:38am
Varieti padi toleran air masin tingkat hasil beras domestik.
Varieti padi toleran air masin tingkat hasil beras domestik.

Malaysia keluar padi tahan air masin 2025

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mengeluarkan varieti padi toleran atau tahan air masin, antara usaha digerakkan kerajaan bagi meningkatkan hasil beras domestik, sekali gus memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.

Inisiatif berkenaan dijalin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan saintis dari China dengan sasaran benih padi toleran air masin dapat dikomersialkan pada tahun depan.

Usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu diterajui pasukan penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Antara kawasan sawah diancam limpahan air masin, terutama ketika fenomena ombak besar adalah sepanjang pesisir Kedah seperti di Kampung Padang Garam, Alor Setar, Kedah; Kuala Kurau di Parit Buntar, Perak dan di Kampung Alor Akoi, Sungai Padang, Perlis, selain sepanjang Sungai Golok di Kelantan.

Memperincikan perkembangan R&D varieti padi toleran air masin, Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI, Dr Elixon Sunian, berkata ia meliputi pendekatan jangka pendek dan jangka panjang.

Untuk jangka pendek, beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan penilaian ke atas varieti padi sedia ada yang berpotensi toleran terhadap air masin melalui ujian secara terus di lapangan membabitkan kawasan sawah yang berdepan masalah berkenaan.

"Pendekatan jangka panjang pula, MARDI sedang membangunkan varieti padi baharu yang tahan air masin menerusi kacukan varieti tempatan dengan induk padi penderma yang mempunyai ciri toleran air masin.

"Untuk pembangunan varieti toleran atau berdaya tahan pada kemasinan, kita sudah mula menjalankan R&D pada RMK12 dan disasarkan varieti padi itu kita bangunkan pada 2025. Selain itu, kajian berkaitan pengurusan nutrien, pengurusan rumpai, perosak dan penyakit di kawasan air masin juga sedang dijalankan," katanya kepada BH.

Dr Elixon Sunian.
Dr Elixon Sunian.

Untuk rekod, tahap toleran varieti padi terhadap air masin dinilai pada konduktiviti elektrik EC > 6 dS/m. Tanah dengan kandungan garam tinggi adalah pada nilai bacaan EC melebihi 4 dS/m, tidak sesuai untuk pertumbuhan padi kerana boleh menyebabkan keracunan dan kehilangan air daripada tumbuhan.

"Secara amnya, varieti padi mempunyai daya tahan terhadap nilai EC yang kurang daripada 6 dS/m. Sekiranya kadar kemasinan terlalu ekstrem, proses fisiologi dan pertumbuhan padi akan terganggu dan secara tidak langsung menjejaskan hasil," kata Elixon.

Ekosistem sesuai perlu disedia

Paling utama, katanya, ekosistem sesuai untuk penanaman padi toleran air masin perlu disediakan dengan tumpuan kepada prasarana seperti membina ban atau tembok penghalang bagi mengelak sawah dicemari limpahan atau penerobosan air masin yang banyak.

"Selain teknologi bagi penghasilan varieti padi tahan air masin, prasarana kawasan sawah berhampiran laut perlu diberi perhatian khusus dengan membina atau menyelenggara ban atau tambatan air laut bagi mengelakkan air laut masuk ke petak sawah.

"Itu antara komponen paling mustahak untuk memastikan padi boleh tumbuh dengan baik dan memberikan hasil tuaian lebih baik kepada pesawah," katanya sambil menambah perubahan iklim juga ancaman besar terhadap industri padi negara.

Beliau menjelaskan, apabila berlaku kenaikan paras aras air laut akibat pemanasan global, padi yang ditanam berhampiran pesisir laut akan terjejas.

Foto NSTP
Foto NSTP

"Ia memerlukan satu ekosistem menyeluruh bagi penanaman padi seperti ini. China juga mengambil pendekatan pengurusan tanaman padi di kawasan bermasalah air masin dengan kombinasi teknologi dan pengurusan.

"Ini penting supaya kawasan sawah yang tercemar air masin dapat dirawat supaya tahap kemasinan itu boleh dikurangkan dan padi boleh tumbuh dengan baik.

"Dari segi pengurusan pula, kerajaan perlu melabur dari segi pembinaan infrastruktur, perairan dan ban penahan air supaya sawah tidak tercemar dengan kemasukan air laut yang boleh merosakkan padi," katanya.

Di Malaysia, kajian MARDI mendapati air masin masuk ke sawah menjadi antara satu faktor menjejaskan pengeluaran hasil apabila berlaku perencatan osmotik dan ketoksikan ion yang akhirnya menganggu prestasi pertumbuhan pokok padi.

Varieti padi kalis air masin berjaya dibangunkan China pada 2012 bagi menyelesaikan isu bekalan makanan, amnya berkaitan beras yang menjadi makanan ruji di negara itu. Difahamkan, saintis dari republik berkenaan juga berjaya membangunkan baka padi kalis air beralkali.

Dalam ujian yang dilakukan di Tianjian, kawasan terletak berhampiran laut, dilaporkan sebanyak 4.6 tan padi dapat dituai untuk setiap 0.4 hektar sawah, sekali gus melepasi purata pengeluaran hasil padi biasa di Negara Tembok Besar berkenaan.

Berita Harian X