Khamis, 11 April 2024 | 8:56pm
Konvokesyen UiTM ke-98 (Sesi Jun) 2023 berlangsung pada 18 November hingga 14 Disember 2023. Konvokesyen ke-99 dijadual pada bulan depan, namun ditangguhkan kepada September iaitu kali kedua selepas dijadualkan Disember tahun lalu. - Foto ihsan Student Portal UiTM
Konvokesyen UiTM ke-98 (Sesi Jun) 2023 berlangsung pada 18 November hingga 14 Disember 2023. Konvokesyen ke-99 dijadual pada bulan depan, namun ditangguhkan kepada September iaitu kali kedua selepas dijadualkan Disember tahun lalu. - Foto ihsan Student Portal UiTM

Graduan UiTM kecewa Istiadat Konvokesyen ditangguh lagi

KUALA LUMPUR: Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kecewa apabila Istiadat Konvokesyen Ke-99 ditangguhkan buat kali kedua.

Istiadat Konvokesyen itu yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini selepas ditangguhkan pada Disember tahun lalu sekali lagi ditangguhkan dan dijangka diadakan pada September ini.

Ini menjadikan graduan yang menamatkan pengajian pada Februari 2023 terpaksa menunggu hampir dua tahun untuk menerima skrol.

Graduan dari Fakulti Kejuruteraan yang mahu dikenali sebagai Kamal, 25, menyifatkan penangguhan istiadat itu menunjukkan kelemahan pengurusan universiti.

"Bayangkan graduan sudah menunggu lama ada yang dari bujang dan kini sudah mempunyai anak.

"Konvokesyen adalah untuk meraikan bersama keluarga namun selepas beberapa kali penangguhan mungkin 'mood' untuk berkonvo sudah tidak ada lagi.

"Ini bukan kali pertama penangguhan Istiadat Konvokesyen UiTM, malah ketika COVID-19 dahulu sudah beberapa kali ia ditangguhkan namun kini penangguhan dibuat tanpa sebarang alasan munasabah," katanya.

Sementara itu, seorang graduan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Nur Afifah, 24, memohon jasa baik Tuanku Canselor UiTM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Universiti yang menentukan kekerapan dan tarikh bagi mengadakan konvokesyen untuk mengkaji semula penangguhan konvokesyen berkenaan.

"Jika konvokesyen diadakan pada September tahun ini, ia genap 20 bulan kami menamatkan pengajian. Bayangkan graduan lain yang akan berkonvo pada Istiadat Konvokesyen ke-100 dan seterusnya, bila mereka akan berkonvo?

"Pemakluman penangguhan yang dimuat naik di media sosial tanpa sebarang alasan itu menjadikan graduan sebagai mangsa dan terpaksa menunggu lama. Jika dahulu kita faham kerana negara dalam keadaan pandemik.

"Para cendekiawan universiti sepatutnya sudah mempunyai perancangan dan bukannya menjadikan graduan sebagai mangsa keadaan," katanya.

Sebelum ini, beberapa kali Istiadat Konvokesyen UiTM ditangguhkan susulan peningkatan kes jangkitan harian COVID-19 pada 2 hingga 23 Mac 2022.

Lazimnya, Istiadat Konvokesyen sepatutnya dilangsungkan enam bulan selepas tamat pengajian.

Berita Harian X