Khamis, 11 April 2024 | 4:25pm
Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 telah disambut dengan meriah di Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Republik Turkiye. - Foto Embassy of Malaysia in the Republic of Turkiye, Ankara
Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 telah disambut dengan meriah di Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Republik Turkiye. - Foto Embassy of Malaysia in the Republic of Turkiye, Ankara

Rumah Terbuka Aidilfitri Kedutaan Malaysia di Turkiye, Kemboja meriah

KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah kegembiraan menyambut Aidilfitri, suasana sedih sudah pasti menyelubungi ramai rakyat Malaysia yang belajar atau bekerja di luar negara kerana tidak dapat meraikan hari bermakna itu dengan sanak keluarga.

Bagi mereka yang berkelana amalan kunjung-mengunjung dan saling bermaafan sempena Syawal menjadi impian yang sukar bagi mereka kerana komitmen menghalang mereka untuk pulang ke tanah air bagi meraikan perayaan istimewa ini.

Namun bagi Nur Dini Mohd Rodzi, 27, walaupun berada jauh di perantauan, beliau enggan membiarkan jarak mematahkan semangat Aidilfitrinya.

Bertekad untuk beraya dengan suasana meriah seperti di tanah air, pelajar tahun tiga dari Universiti Izmir Katip Çelebi itu menaiki kereta api selama 13 jam dari Izmir ke Ankara, tiba di Kedutaan Besar Malaysia untuk menghadiri perhimpunan khas Hari Raya Aidilfitri.

"Saya amat bersyukur dan gembira kerana dapat meraikan hari pertama Syawal bersama rakyat Malaysia di sini.

"Perhimpunan yang dinanti-nantikan ini adalah peluang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti di rumah iaitu kami menunaikan solat sunat Aidilfitri di kedutaan dan saya menikmati juadah Malaysia yang mewah," katanya kepada Bernama.

Nur Dini dan rakannya, Nur Sabrina Nasaruddin, 23, sudah lama teruja untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di kedutaan.

"Ia merupakan suasana Hari Raya yang meriah di kedutaan. Suasana yang membuatkan saya berasa seperti di tanah air tetapi ia juga membuatkan saya lebih merindui rumah.

"Saya seronok merasai juadah Malaysia terutama sate dan kuih raya yang seperti juadah di rumah," kata Nur Sabrina.

Bagi Nor Syahmi Suliman, pelajar tahun akhir Ijazah Fisioterapi di Universiti Beyazıt Ankara Yıldırım, seronok dapat menyumbang tenaga dalam persediaan menu raya dengan Persatuan Wanita Kementerian Luar (Perwakilan) Ankara.

"Lega dan bahagia apabila ramai yang memuji juadah raya yang kami masak," katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perwakilan Ankara atas usaha gigih mereka sejak beberapa minggu lepas dalam memilih dan menyediakan juadah Malaysia untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Setiap tahun, kami memilih beberapa hidangan dengan teliti bagi memastikan rakyat Malaysia dan tetamu jemputan dapat menikmati juadah Hari Raya sempena sambutan Aidilfitri. Tahun ini, kami menampilkan nasi minyak, ayam masak merah dan rendang daging.

"Kami akan meneruskan inisiatif ini pada tahun-tahun akan datang dengan perubahan kecil pada menu.

"Bagi mempamerkan kepelbagaian masakan Malaysia di luar negara, kami akan memperkenalkan variasi menu, menggabungkan hidangan Cina dan India yang lazat di samping kegemaran tradisional raya kami supaya kami dapat menikmati rasa masakan Malaysia yang lazat di luar negara," katanya.

Tahun ini, Sazali berkata sambutan majlis Hari Raya di kedutaan pada hari pertama Syawal berlangsung meriah dan menyeronokkan yang menyaksikan kira-kira 150 rakyat Malaysia dan keluarga mereka berkumpul.

"Perhimpunan ini bukan sahaja dapat mengembalikan nostalgia sambutan raya di tanah air kepada rakyat Malaysia di luar negara tetapi juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan diaspora Malaysia di sini," katanya.

Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri telah lama menjadi tradisi bagi perwakilan asing Malaysia di luar negara, cara untuk menyebarkan kegembiraan Aidilfitri dan memupuk semangat Hari Raya yang amat dihargai rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

Daripada berkongsi juadah tradisional sehinggalah menyampaikan salam mesra, rumah terbuka ini menawarkan suasana berhari raya di rumah dan memupuk semangat kemasyarakatan bagi rakyat Malaysia yang jauh berkelana.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata menjadi tradisi kedutaan untuk mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri bagi memastikan semangat Hari Raya terus hidup.

Pada tahun ini, beliau berkata kira-kira 150 rakyat Malaysia dan rakan-rakan Malaysia termasuk kakitangan kedutaan, profesional Malaysia serta warga asing yang merupakan rakan karib kedutaan dijemput meraikan majlis itu.

"Hari Raya merupakan perayaan yang diraikan rakyat Malaysia tanpa mengira etnik dan latar belakang. Setiap rakyat Malaysia tidak sabar untuk menikmati rendang dan ketupat pada hari pertama Syawal.

"Paling penting, semangat kekitaan kita terus dipelihara semasa sambutan perayaan ini, terutamanya apabila mereka berada jauh di perantauan.

"Kami menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri bagi mengekalkan semangat Hari Raya yang diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia yang menetap di sini, satu daripada cara untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X