Khamis, 11 April 2024 | 11:52am
Foto hiasan
Foto hiasan

'Kalau dapat masakan mak, pasti saya akan menangis'

KUALA LUMPUR: Di kala umat Islam bergembira pada pagi raya bersama keluarga tercinta, ada insan menyambut Hari Lebaran di sebalik tirai besi dengan linangan air mata berikutan kesilapan percaturan hidup.

Bukan saja tidak berbaju baharu mahupun bergambar raya, malah tiada kesempatan mencium tangan orang tua tersayang atau menikmati juadah istimewa hasil air tangan keluarga. Itulah harga kehidupan terpaksa 'dibayar' oleh mereka yang bergelar pesalah muda di Pusat Koreksional Puncak Alam.

Berkongsi kepada Bernama, pesalah muda dikenali sebagai Lan, 19, berkata kali pertama berpuasa dan berhari raya tanpa ibu kesayangannya, tiga tahun lalu, bukanlah satu perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila mendengar suara takbir bergema dari masjid di pusat berkenaan.

"Tahun ini, kali keempat saya tidak berpeluang menyambut Aidilfitri bersama mak. Tiada lagi mi kari yang dimakan bersama bihun dan kuetiau hasil air tangan mak... kalau dapat masakan mak, pasti saya akan menangis.

"Kalau dapat jumpa mak, saya nak minta maaf pada mak... silap saya tak dengar cakap dan teguran mak. Kalau saya dengar, pasti tidak jadi macam ini," katanya sambil memberitahu suapan ibu beberapa hari sebelum dia diberkas polis ketika berusia 16 tahun adalah saat paling dirindui.

Menurut remaja bertubuh sederhana sasa, berkulit cerah dan berwajah polos itu, zaman remajanya lenyap dan hanya tinggal titik hitam akibat percayakan rakan-rakan dan tidak berfikir panjang.

Anak bongsu daripada enam beradik itu telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dengan menggunakan asid, beberapa tahun lalu.

Dia kini sedang mengira detik percaturan hidupnya sama ada mahkamah akan menjatuhkan hukuman bersalah atau sebaliknya.

Sementara itu Boboy, 21, yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur, berkata dirinya tiada kenangan beraya dengan keluarga.

"Saya teringin merasa beraya dengan keluarga... entah bila saya dapat rasa pengalaman itu. Saya tidak tahu nenek dan adik perempuan kini berada di mana sebab selepas ditangkap, saya tidak lagi berhubung dengan mereka," katanya yang kehilangan ibu sejak berusia tujuh tahun.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia membesar dalam keluarga yang terbabit dadah dan semua ahli keluarganya acap kali keluar masuk penjara disebabkan bahan terlarang itu.

Penghuni termuda berusia 15 tahun dan mesra dipanggil sebagai Angah pula berkata, tahun ini adalah kali pertama dia beraya di dalam pusat itu.

"Tak tahu nak cakap macam mana nak sambut raya kali ini... kali pertama jauh dari keluarga. Tahun ini, tidak dapat bantu ayah melemang seperti tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Angah dimasukkan ke pusat itu sejak bulan lalu selepas ditangkap kerana cubaan pecah masuk sebuah rumah mewah bersama adik lelakinya yang berusia 13 tahun.

Dia mendakwa, masalah kewangan dihadapi keluarga dan selalu terputus bekalan makanan menyebabkannya terpaksa melakukan perbuatan itu.

Seorang lagi pesalah muda yang mahu dikenali sebagai Adam, 21, berkata akibat salah memilih rakan, dia terpaksa menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan samun dan terlepas tiga kali sambutan Hari Raya bersama bonda tercinta.

"Saya menyesal sangat dengan perbuatan saya. Sebelum ini, saya langsung tidak dengar cakap ibu. Jika boleh berjumpa ibu, saya nak sangat memohon maaf dengan ibu sebab tidak menjadi contoh yang baik pada adik-adik," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X