Khamis, 11 April 2024 | 10:44am
Arul Kumar (dua kanan) menunjukkan lokasi pemasangan CCTV oleh SWCorp bagi mengesan kegiatan pembuangan sampah haram. - Foto Ihsan SWCorp Negeri Sembilan.
Arul Kumar (dua kanan) menunjukkan lokasi pemasangan CCTV oleh SWCorp bagi mengesan kegiatan pembuangan sampah haram. - Foto Ihsan SWCorp Negeri Sembilan.

Guna CCTV kesan individu buang sampah haram

SEREMBAN: Individu yang dikesan membuang sampah sesuka hati dari tingkap kenderaan atau di tempat tumpuan awam selain melakukan kegiatan sampah haram di Negeri Sembilan akan dikenakan tindakan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ia susulan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan di beberapa lokasi tumpuan laluan awam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar, berkata pemasangan CCTV itu bertujuan mengesan dan menangkap individu yang membuang sampah merata-rata termasuk pembuangan sampah dari kenderaan.

Katanya, SWCorp Negeri Sembilan juga dalam proses perolehan untuk mendapatkan 40 CCTV yang lebih moden dan canggih, dalam masa terdekat.

"Pemasangan CCTV ini tertumpu di lokasi strategik antaranya persimpangan lampu isyarat, kawasan tumpuan dan 'hotspot' sampah haram. Ia akan diperluaskan di

semua daerah di Negeri Sembilan.

"SWCorp juga akan memasang papan tanda amaran yang di kawasan yang seringkali menjadi tumpuan pembuangan sampah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, berkata tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengeluarkan kompaun kepada mereka yang melakukan kegiatan tidak sihat itu.

Beliau berkata, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 71 Akta 672 yang memperuntukkan denda RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara enam bulan hingga lima tahun.

Katanya, setiap hukuman yang dikenakan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

"Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

"Tindakan penguatkuasaan ini bukan hanya semata-mata untuk menghukum mana-mana individu, tetapi juga boleh dijadikan pengajaran kepada semua," katanya.

Arul Kumar juga, kerjasama daripada orang awam juga dialu-alukan dengan mengambil gambar atau video terhadap sebarang aktiviti pembuangan sampah dan boleh dihantar semua maklumat berkenaan kepada SWCorp atau PBT berkaitan.

"SWCorp dan PBT terbabit akan menjalankan siasat terhadap aduan diterima dan akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Berita Harian X