Khamis, 11 April 2024 | 9:44am
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

'Belum terima apa-apa notis' - Syed Abu Hussin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjelaskan masih belum menerima apa-apa notis daripada parti BERSATU susulan sokongan beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Masih belum terima apa-apa notis," katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.

Ditanya sama ada perlu mengosongkan kerusi Parlimen yang disandangnya, Syed Abu Hussin berkata, beliau masih menunggu notis yang dikatakan akan dihantar dan tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga menerima notis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris ketika dihubungi pula meminta semua pihak bersabar dalam isu tersebut.

Sebelum ini, Razali berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) BERSATU diberi peluang menetapkan pendirian semula, sebelum tindakan pengguguran sebagai keahlian dilakukan.

Beliau berkata demikian susulan keputusan BERSATU meluluskan pindaan Perlembagaan yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Keputusan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) parti, selepas enam Ahli Parlimen parti itu mengisytiharkan menyokong Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Awal bulan ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan parti bagi membolehkan langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen, sekali gus diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Selain Syed Abu Hussin, Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Bulan lalu, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Berita Harian X