Rabu, 10 April 2024 | 6:31pm
Penduduk melakukan solat jenazah buat satu keluarga yang terkorban dalam serangan semalaman dilancarkan Israel, di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza pada hari pertama Aidilfitri. - AFP
Penduduk melakukan solat jenazah buat satu keluarga yang terkorban dalam serangan semalaman dilancarkan Israel, di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza pada hari pertama Aidilfitri. - AFP

Perutusan Aidilfitri: Setiausaha Agung OIC gesa tamat pencerobohan maut di Gaza

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha membangkitkan mengenai penderitaan umat Islam di zon konflik di seluruh dunia khususnya rakyat Palestin di Gaza yang berdepan pencerobohan kejam tentera Israel.

Melalui perutusannya sempena Aidilfitri, Taha berkata hatinya tersentuh dengan rakyat Palestin yang menderita di bawah pencerobohan kejam yang tidak pernah berlaku oleh pasukan pendudukan Israel yang tidak memberi ruang kepada rakyat untuk bersembahyang, apatah lah lagi menyambut puasa Ramadan dengan aman.

Sebaliknya, beliau berkata pasukan tentera memperhebatkan pembunuhan dan pemusnahan ke atas penduduk Palestin menyebabkan jutaan di wilayah terbabit kelaparan.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman web OIC itu, beliau berdoa kepada Allah SWT untuk menghapuskan kesedihan itu, menamatkan krisis dan pencerobohan serta melindungi Masjidil Aqsa yang diberkati.

Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha.
Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha.

Taha juga mengulangi solidaritinya dengan pelarian Rohingya serta umat Islam lain di pelbagai bahagian dunia, termasuk wilayah Sahel dan Lembah Chad serta umat Islam Jammu dan Kashmir dan kawasan krisis lain di seluruh dunia yang sambutan Aidilfitri mereka terjejas disebabkan keadaan mereka yang sukar.

Beliau juga menaruh harapan supaya peperangan akan berakhir di Sudan.

Selain itu, ketua OIC itu juga menyeru untuk menamatkan semua kebencian, keganasan dan ekstremisme.

Beliau menyatakan harapannya bahawa kesempatan ini akan menjadi peluang untuk penilaian semula diri dan kesinambungan tindakan kolektif yang serius untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh seluruh umat Islam. – BERNAMA

Berita Harian X