Rabu, 10 April 2024 | 4:24pm

Ketua misi luar negara di Malaysia ucap selamat Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Dalam semangat Aidilfitri, ketua-ketua misi luar negara di Malaysia tampil kreatif dan unik menyampaikan ucapan Selamat Aidilfitri kepada seluruh umat Islam yang meraikannya di negara ini.

Mengenakan baju Melayu dan songkok, Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko menyampaikan ucapan tulus ikhlas kepada rakyat Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri yang penuh keberkatan.

"Bagi pihak Kedutaan Jepun, kami ingin mengucapkan Selamat Aidilfitri kepada semua rakan Muslim kami di Malaysia.

"Kami berharap perayaan ini menjadi ganjaran yang penuh kegembiraan bagi anda dan semoga anda semua berpeluang meraikan Hari Raya ini bersama insan tersayang," katanya dalam video berdurasi satu minit tujuh saat yang dirakam di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini.

"Saya merakam video ini di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, sebuah daripada masjid tertua di bandar raya ini. Ia dibina pada 1909 dan ia dijaga dengan indah untuk membolehkan orang ramai datang dan bersembahyang dan juga untuk pelancong melawat.

"Tempat ini mempunyai nilai sejarah yang signifikan bagi Malaysia dan merupakan destinasi menarik untuk diterokai jika anda berada di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan turut segak berbaju Melayu, mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri yang penuh keberkatan kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Foto FB U.S. Embassy Kuala Lumpur
Foto FB U.S. Embassy Kuala Lumpur

"Bagi pihak kami semua di Kedutaan Amerika Syarikat, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya yang sangat diberkati kepada semua yang menyambutnya di Malaysia.

"Semoga anda menikmati majlis istimewa ini bersama orang tersayang dan rakan-rakan semasa sambutan Aidilfitri. Selamat Aidilfitri," katanya.

Dalam video berdurasi satu minit itu, Kagan bersama rakan sekerja, teman dan rakan kongsi kedutaan dilihat menganyam ketupat, juadah tradisi berasaskan nasi atau pulut yang dihidangkan semasa Aidilfitri.

"(Menganyam ketupat), tradisi perayaan Malaysia yang dihargai melambangkan perpaduan dan kesyukuran," catat kedutaan itu dalam hantarannya di Facebook dan X.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon menyampaikan ucapan Hari Raya kepada rakyat Malaysia sempena Aidilfitri yang penuh keberkatan.

"Kepada semua rakan Malaysia, Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin. Pada hari yang menggembirakan ini, saya mengharapkan anda semua memiliki masa yang indah bersama keluarga dan orang tersayang," katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebook Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dan Konsulat Jeneral Malaysia di Johor.

Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel turut menyampaikan salam dan ucapan selamat maju jaya kepada semua umat Islam Malaysia yang menyambut Aidilfitri.

"Saya gembira dapat meraikan majlis yang penuh gilang gemilang ini bersama saudara dan saudari di Malaysia, menikmati sambutan yang indah, meriah dan makanan yang lazat - rendang, ketupat, kuih-muih dan lain-lain lagi.

"Semoga sambutan penuh berkat ini ini dapat menyatukan umat manusia lebih rapat daripada sebelumnya. Saya berharap keamanan dan kebahagiaan di seluruh dunia. Saya ucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin kepada semua," katanya dalam video kepada Bernama.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi dalam ucapan mesra Aidilfitri menerusi video kepada Bernama berkata:

"Selamat Hari Raya Aidilfitri. Selaku Duta Republik Islam Iran ke Malaysia, saya berbesar hati untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia terutamanya saudara dan saudari yang tersayang di Malaysia.

"Sempena Aidilfitri ini, saya menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada anda semua atas kesihatan, kejayaan dan kebahagiaan serta kemakmuran yang baik. " – BERNAMA

Berita Harian X