Rabu, 10 April 2024 | 2:28pm
Warga asing berpelukan selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri ketika tinjauan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Al-Bukhary, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Warga asing berpelukan selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri ketika tinjauan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Al-Bukhary, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Rindu keluarga, warga asing berhari raya bersama rakan di KLCC

KUALA LUMPUR: Ribuan warga asing dari pelbagai negara mengambil kesempatan sempena perayaan Aidilfitri hari ini, untuk bersantai dan mengadakan pertemuan bersama rakan-rakan di beberapa destinasi pelancongan utama ibu negara.

Antara lokasi yang 'diserbu' adalah taman dan pekarangan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), taman Menara Tun Abdul Razak Exchange (TRX), Puduraya dan Masjid Jamek.

Jalan Silang, destinasi popular untuk warga Asia Barat juga menjadi lokasi perhimpunan.

Tinjauan BH mendapati mereka duduk bersantai, berswafoto dan berborak sesama sendiri.

Jalan raya memasuki destinasi ini juga sesak seperti kebiasaan meskipun ramai warga kota pulang menyambut hari raya di kampung halaman masing-masing.

 Warga asing meluangkan masa dengan melakukan aktiviti sosial dengan berjumpa rakan-rakan senegara sempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri di Jalan Silang, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Warga asing meluangkan masa dengan melakukan aktiviti sosial dengan berjumpa rakan-rakan senegara sempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri di Jalan Silang, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 20-an, berkata dia diberi cuti selama dua hari oleh majikan sempena Aidilfitri ini.

"Saya merindui keluarga di kampung kerana ini tahun kedua saya tidak pulang berhari raya di Bandung. Mujurlah ada kawan-kawan yang boleh menemani saya ke merata tempat untuk menghiburkan diri di hari raya," katanya yang juga pekerja kedai makan di Jalan Ampang.

Sementara itu, Mohamed Asarudin Tamimuansari, 29, berkata dia amat merindui keluarganya yang berada di India terutama anak lelaki berusia enam tahun.

"Saya okey sahaja beraya di perantauan kerana baru sekitar setahun di Malaysia, mungkin tahun seterusnya saya akan cuba untuk pulang berhari raya bersama mereka," katanya yang ditemui di KLCC, hari ini.

Di tanya mengenai persiapan hari raya di sini, buruh binaan itu berkata, dia gembira menyambut hari raya di negara ini kerana kesemua umat Islam dibenar meraikan lebaran dengan meriah.

"Kami solat sunat Aidilfitri di masjid bersama rakyat Malaysia dan selepas itu mengadakan makan-makan bersama rakan.

Sekarang saya juga berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur kerana mempunyai banyak masa terluang apabila dibenarkan bercuti.

Abdurr Raub Abdul Wajid, 41, pula berkata dia melepaskan rindu kepada keluarga dengan membuat panggilan video dengan mereka di Bangladesh.

"Saya sangat merindui keluarga. Mereka akan menyambut Aidilfitri beberapa jam lagi kerana perbezaan waktu. Jika di kampung halaman kami juga menyambutnya bersama keluarga sama seperti di Malaysia tapi hari ini saya hanya keluar berjalan bersama rakan.

Bagi Abdul Mateen, 29, dia turun ke Kuala Lumpur menyambut Aidilfitri bersama rakan di Jalan Silang.

"Setiap kali cuti saya akan ke sini kerana terdapat ramai kawan dari kampung halaman. Sangat gembira ada mereka," katanya.

Sementara itu, tinjauan BH di beberapa laluan utama mendapati lengang tetapi tidak sunyi kerana ramai yang dipercayai melakukan ziarah raya seawal 11 pagi tadi.

Berita Harian X