Rabu, 10 April 2024 | 9:53am

Sultan Terengganu saran umat Islam contohi ulama terdahulu meraikan Aidilfitri

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengajak seluruh rakyat beragama Islam dapat menghayati sejarah golongan As-Salafus Soleh (pendahulu yang soleh) dalam meraikan Aidilfitri.

"Golongan ulama terdahulu ini memperbanyak takbir dan melakukan amalan sunat lain, termasuk berzikir dan bertahmid sepanjang menyambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

"Amalan ini sepatutnya menjadi teladan terbaik untuk seluruh umat Islam dalam menghayati pengertian hari raya," titahnya.

Justeru, baginda menyarankan seluruh umat Islam menguatkan keazaman untuk berpuasa sunat enam hari pada Syawal yang dijanjikan dengan ganjaran dan kelebihan pahala yang besar.

"Beta berpesan supaya sama-samalah kita kuatkan azam untuk berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal kerana kelebihan amat besar seperti dijanjikan Allah.

"Beta juga mengajak seluruh umat Islam di negeri ini menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan memperbanyak amalan sunat termasuk bertakbir, bertahmid, berzikir dan ziarah menziarahi serta memberi makan kepada tetamu seperti amalan yang sepatutnya," titahnya melalui perutusan sempena sambutan Aidilfitri 2024.

Sultan Mizan bertitah, amalan berpuasa sunat enam pada bulan Syawal menunjukkan agama Islam yang maha suci membimbing dan mendidik supaya umat Islam sentiasa beristiqamah dalam melaksanakan amal ibadah sepanjang kehidupan.

"Alhamdulillah, selama sebulan kita berpuasa pada bulan Ramadan disamping melakukan amalan sunat, memberi kesan amat mendalam dalam diri sebagai umat Islam.

"Bulan Ramadan bulan yang di dalamnya penuh dengan pendidikan dalam membentuk diri manusia menjadi muslim yang bertakwa baik dari segi rohani dan jasmani," titahnya.

Baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini, hari ini.

Turut berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama 3,000 jemaah ialah Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Zainal Abidin.

Keberangkatan Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Ismail disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Turut hadir mengiringi Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Ismail adalah Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Ismail serta Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin.

Khutbah Aidilfitri bertajuk Aidilfitri Hari Bersyukur disampaikan Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.

Dr Mohamad Sabri juga turut mengimamkan solat sunat Aidilfitri.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Ismail serta Sultanah Nur Zahirah meluangkan masa lebih 30 minit bersalaman dengan jemaah.

Sebelum berangkat pulang, Sultan Mizan, Tengku Muhammad dan Sultanah Nur Zahirah menziarah makam diraja yang terletak di perkarangan masjid.

Sultan Mizan (tiga kanan), Tengku Muhammad (empat kanan) dan Ahmad Samsuri (dua kanan) menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, hari ini. - Foto BH/BAHAROM BAKAR
Sultan Mizan (tiga kanan), Tengku Muhammad (empat kanan) dan Ahmad Samsuri (dua kanan) menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, hari ini. - Foto BH/BAHAROM BAKAR
Berita Harian X