Selasa, 9 April 2024 | 10:57pm
Titah perutusan Sultan Selangor sempena Aidilfitri.
Titah perutusan Sultan Selangor sempena Aidilfitri.

Kukuh perpaduan, elak fitnah buruk sangka - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru seluruh umat Islam dan juga semua bangsa tidak mengira keturunan dan agama di negara ini, agar terus mengukuhkan perpaduan dan menyemarakkan semangat muhibah antara satu sama lain.

Melalui titah perutusan sempena Aidilfitri 1445 Hijrah, baginda turut mengingatkan sekalian rakyat agar sentiasa mengamalkan sifat-sifat mulia dalam setiap tingkah laku dan menulis perkara yang baik-baik sahaja.

"Elakkan fitnah dan buruk sangka, kerana apa sahaja yang kita lakukan adalah menjurus kepada ketakwaan kepada Allah SWTswt.

"Beta berharap seluruh umat Islam terus mengekalkan hubungan silaturahim dan bermaaf-maafan, lebih-lebih lagi dengan suasana Syawal yang penuh dengan tradisi rumah terbuka dan kunjung mengunjung.

"Sesungguhnya amalan ini mampu mempererat jalinan perpaduan," titah baginda menerusi Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan semua yang menempuh perjalanan pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati memandu dan sentiasa berwaspada ketika di jalan raya.

Pada kesempatan sama, baginda bersama Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Selangor yang dikasihi.

"Beta berdoa agar sambutan hari raya kali ini diraikan dalam suasana yang meriah dan penuh harmoni.

"Semoga Syawal yang menyusuli pemergian Ramadan ini dapat kita sambut dengan kegembiraan sejati," titah baginda.

Berita Harian X