Selasa, 9 April 2024 | 9:02pm
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto fail NSTP
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto fail NSTP

Ahmad Samsuri minta umat Islam terus istiqamah

KUALA TERENGGANU: Umat Islam di seluruh negeri ini diminta terus beristiqamah, selepas berjaya mengawal hawa nafsu dan meninggalkan segala larangan Allah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata walaupun Ramadan sudah berakhir, amalan dilakukan selama sebulan menjadikan diri untuk terus beristiqamah dalam pelbagai perkara kebaikan.

Katanya, Aidilfitri yang akan disambut seluruh umat Islam adalah hadiah kemenangan selepas berjaya mengawal hawa nafsu dan meninggalkan segala larangan Allah.

"Aidilfitri lebih bermakna seandainya disambut dengan penuh kesederhanaan, terutama dalam situasi kebanyakan rakyat seluruh negara.

"Komitmen ibu bapa yang perlu meletakkan keutamaan antara dua perkara iaitu perbelanjaan persekolahan dan persiapan Aidilfitri perlu dihargai," katanya melalui perutusan Aidil Fitri 2024.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman, berkata kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada anak syarikat Terengganu (GLC) yang membantu kerajaan menyalurkan pelbagai sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan asnaf, anak yatim dan mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan.

Sempena Aidilfitri, katanya, seluruh rakyat diminta menghargai keberadaan keluarga dan menggunakan kesempatan untuk meleraikan sengketa serta saling-bermaafan.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, jangan lupakan saudara Islam di Palestin yang tidak berhenti berjuang mempertahankan tanah air.

"Umat Islam di Palestin berada dalam keadaan serba kekurangan, jika kita sudah merasa kekurangan, tetapi mereka di sana hampir hilang semua yang dimiliki," katanya.

Berita Harian X