Selasa, 9 April 2024 | 8:31pm
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. - BERNAMA/FOTO FAIL
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. - BERNAMA/FOTO FAIL

Abang Jo ajak rakyat Sarawak elak perkara cetus perpecahan

KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengajak rakyat negeri ini mengelak daripada terpengaruh dengan perilaku masyarakat di tempat lain yang cenderung melihat perbezaan berbanding unsur penyatuan.

Jelasnya, perdebatan berhubung isu agama dan keturunan yang berlarutan setiap hari dibimbangi akan mencetuskan perpecahan serius dalam masyarakat majmuk.

Mengajak rakyat bersama-sama terus berusaha ke arah penyatuan masyarakat dan mengelak perkara yang akan mendatangkan perpecahan, beliau berkata, usaha berterusan amat perlu bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai agama, bangsa dan budaya di Bumi Kenyalang.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar suasana keharmonian akan terus terjalin di Bumi Kenyalang yang sama-sama kita cintai kerana itulah tonggak kekuatan untuk menjadikan Sarawak wilayah yang aman dan makmur," katanya.

Dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri 2024, Abang Johari berkata, hari raya harus diraikan dengan penuh keimanan dan kesyukuran terhadap kemuliaan dan barakah Allah.

"Ramadan harus mengajar kita untuk lebih bersabar, belajar erti pengorbanan dan sentiasa bersyukur kepada barakah Allah. Maka dengan penuh keinsafan dan amal jariah, umat Islam menyambut hari kemenangan pada Aidilfitri yang mulia ini dengan penuh rasa kesyukuran dan keriangan," katanya.

Menurutnya lagi, sudah menjadi kelaziman, kegembiraan menyambut perayaan dikongsikan dengan rakan kaum lain dengan amalan kunjung-mengunjung sama seperti suasana pada Tahun Baharu Cina, Hari Gawai Dayak, Krismas atau Deepavali.

Berita Harian X