Selasa, 9 April 2024 | 4:51pm
Peniaga santan tidak menang tangan melayan orang awam membeli barang keperluan untuk persiapan di saat akhir menjelang Aidilfitri. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Peniaga santan tidak menang tangan melayan orang awam membeli barang keperluan untuk persiapan di saat akhir menjelang Aidilfitri. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Persiapan Syawal: Kedai jual santan, ayam tumpuan pelanggan

PASIR PUTEH: Pasar basah di kebanyakan tempat di Kelantan hari ini menjadi tumpuan utama orang ramai bagi membuat persiapan akhir menjelangnya 1 Syawal.

Tinjauan di pasar basah Siti Hajar di sini mendapati antara premis diserbu pelanggan ialah kedai menjual santan segar dan ayam.

Peniaga santan segar, Norhafezani Daud, 46, berkata jualannya meningkat dua kali ganda sejak beberapa hari lalu, memaksanya menyediakan kira-kira 3,000 biji kelapa sehari.

Katanya, bagi memastikan urusan perniagaan lebih lancar di hari-hari akhir Ramadan, dia mula melakukan persiapan membelah dan mengukur kelapa, sebelum masuknya waktu Subuh.

"Memang setiap kali hari raya jualan santan mendapat sambutan tiga kali ganda, oleh itu saya mendapatkan tujuh pekerja tambahan untuk membantu di kedai tahun ini," katanya.

Norhafezani berkata, dia menempah kelapa lebih awal daripada pembekal dari Kampung Kulim di sini dan Kampung Beoh di Bachok bagi memastikan bekalan mencukupi untuk jualan sempena hari raya yang dijual pada harga RM12 sekilogram.

Umat Islam membeli bahan mentah sebagai persiapan Aidilfitri. - BERNAMA
Umat Islam membeli bahan mentah sebagai persiapan Aidilfitri. - BERNAMA

Bagi peniaga ayam, Mohd Norfarizu, 39, dia menyediakan kira-kira 800 ayam sehari sejak beberapa hari lalu, berbanding 400 ekor pada hari biasa kerana sudah menjangkakan permintaan akan meningkat sekali ganda, menjelang Aidilfitri.

Untuk hari ini, katanya, semua ayam dijual pada harga RM8.70 sekilogram habis dalam tempoh beberapa jam selepas kedainya dibuka, memandangkan pelanggan membeli dalam jumlah yang banyak.

Dalam pada itu, antara barangan lain yang turut mendapat permintaan tinggi hari ini ialah daun palas dan daun kunyit.

Peniaga, Norhayati Ahmad, 29, berkata 200 pelepah daun palas dan kira-kira 500 helai daun kunyit yang dijualnya, tidak dapat menampung permintaan pelanggan hari ini.

Katanya, daun palas dijual pada harga RM1 satu pelepah mula laris sejak seminggu lalu menyebabkan pembekal tidak dapat menyediakan bekalan lebih banyak hari ini. – BERNAMA

Berita Harian X