Selasa, 9 April 2024 | 12:24pm
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA

KKM keluar 1,639 notis kompaun, arah 3 premis makanan ditutup

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan tiga premis makanan ditutup, selain mengeluarkan 1,639 notis kompaun dianggarkan bernilai RM163,900 sepanjang tempoh Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan 2024 dari 12 Mac hingga 5 April lalu.

Notis kompaun bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 itu telah dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan atas pelbagai jenis kesalahan.

KKM dalam satu kenyataan, hari ini, berkata antara kesalahan yang dikesan ialah tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan antitifoid, dan pakaian pengendali makanan tidak mematuhi keperluan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurutnya, operasi itu dilancarkan KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), bagi memastikan makanan disediakan dan dijual adalah selamat serta mematuhi kehendak Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Operasi itu dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh negara, membabitkan pemeriksaan premis makanan seperti restoran, outlet makanan dan gerai serta pensampelan makanan.

"Sebanyak 1,299 lokaliti Bazar Ramadan di seluruh negara diperiksa sepanjang tempoh 12 Mac hingga 5 April 2024, dengan sejumlah 43,304 premis telah diperiksa.

"Daripada jumlah itu, tiga premis makanan diarahkan tutup bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Seramai 85,903 pengendali makanan juga diperiksa di mana 94.2 peratus mempunyai suntikan antitifoid dan 87.4 peratus telah menghadiri latihan pengendali makanan," katanya.

KKM memaklumkan hingga 5 April lalu, pihaknya menerima 29 aduan berkaitan makanan dijual di Bazar Ramadan seluruh negara.

Daripada jumlah itu, menurutnya, 20 aduan selesai disiasat, manakala sembilan lagi masih dalam proses siasatan.

"Tindakan perundangan telah diambil, dan pendidikan keselamatan makanan diberikan kepada pengusaha premis terbabit," katanya.

Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, KKM turut menasihati pengguna dan orang ramai supaya sentiasa peka dan mengutamakan aspek keselamatan makanan.

Antaranya, sentiasa mengamalkan pengendalian makanan yang bersih, terutama ketika menyediakan juadah Hari Raya atau menganjurkan rumah terbuka.

Selain itu, sentiasa mengamalkan kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan sabun serta air bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan dan selepas ke tandas.

"Sila amalkan 'Perhati dan Pilih' sebelum membeli apa-apa juadah, serta amalkan 'Lihat, Hidu dan Rasa' sebelum makan. Jadikan langkah mudah ini sebagai amalan untuk mengelakkan keracunan makanan.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna," katanya.

Pengguna yang ada kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh hubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau layari laman sesawang serta Facebook PKKM di alamat http://moh.spab.gov.my dan https://www.facebook.com/bkkmhq.

Berita Harian X